Perkembangan dakwaan skandal perlombongan Sabah

Perkembangan dakwaan skandal perlombongan Sabah

FMT menyingkap perkembangan sejak video 'tuduhan' tersebar pada Disember 2024 dengan dua Adun dan seorang ahli perniagaan didakwa di mahkamah baru-baru ini.

Pembantu Menteri Andi Suryandy Bandy dan Adun Dr Yusof Yacob didakwa atas tuduhan rasuah bersama ahli perniagaan Albert Tei pada 30 Jun.
PETALING JAYA:
Pada 30 Jun, seorang pembantu menteri Sabah, seorang Adun dan seorang ahli perniagaan didakwa atas tuduhan rasuah di Mahkamah Kota Kinabalu berkait skandal perlombongan — sesuatu yang menggegarkan namun gagal meruntuhkan pentadbiran ketua menteri Hajiji Noor.

Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah Andi Suryady Bandy — Ahli Parlimen Kalabakan dan Adun Tanjung Batu serta Adun Sindumin Dr Yusof Yacob, mengaku tidak bersalah menerima rasuah RM350,000, manakala ahli perniagaan Albert Tei turut mohon dibicarakan kerana memberi suapan.

Tei sebelum ini meminta status pemberi maklumat daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), tetapi permintaan itu ditolak atas alasan dia tidak layak mendapat perlindungan bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.

Seksyen 11(1) akta itu memperuntukkan perlindungan ‘pemberi maklumat’ tidak tersedia kepada orang yang telah mengambil bahagian dalam sebarang kelakuan tidak wajar yang dilaporkannya.

Bagaimana dakwaan itu terbongkar

Skandal itu menjadi tumpuan umum pada hujung tahun lepas selepas beberapa siri video tular — yang didakwa dirakam oleh Tei dan diterbitkan Malaysiakini — kelihatan mengaitkan beberapa Adun Sabah dalam penerimaan bayaran haram dikaitkan dengan pengeluaran lesen cari gali.

Tei mendakwa, pembayaran itu dibuat untuk mengekalkan budaya ‘duit kopi’ (rasuah) yang berleluasa dalam sektor mineral Sabah. Tei memberitahu Malaysiakini yang dia membelanjakan sejumlah besar, didakwa melebihi RM1 juta, didakwanya dibayar kepada beberapa Adun untuk mendapatkan lesen cari gali.

Beliau juga mendakwa, wakil rakyat ‘menjual’ permit, dengan harga berbeza berdasarkan kedudukan setiap wakil dalam kerajaan negeri.

Hampir dua tahun sebelum itu, pada 6 Jan 2023, Barisan Nasional (BN) Sabah, ketika itu merupakan gabungan rakan dalam kerajaan negeri, cuba menggulingkan kerajaan negeri dari dalam.

‘Langkah Kinabalu’ itu menyaksikan Pengerusi BN Sabah Bung Moktar Radin menarik balik sokongan terhadap gabungan kerajaan negeri diketuai Gabungan Rakyat Sabah (GRS), dengan menyatakan hilang keyakinan terhadap kepimpinan Hajiji.

‘Rampasan kuasa’ itu bagaimanapun gagal menjadi kenyataan selepas lima Adun Umno ingkar pendirian parti dan menyokong Hajiji, membolehkannya mengekalkan majoriti di DUN mempunyai 79 kerusi, sekali gus menyingkirkan BN ke blok pembangkang.

Dalam ‘pendedahannya’, Tei menuduh Hajiji mendapatkan sokongan Adun dengan menawarkan mereka kuota pencarian mineral melalui Sabah Mineral Management Sdn Bhd (SMM), badan milik kerajaan negeri yang dipertanggungjawabkan menguruskan simpanan mineralnya.

Tei kemudian mendakwa Hajiji telah menyebabkan bilangan permit yang berlebihan dikeluarkan, sambil membatalkan permit dikeluarkan sebelum ini.

Beliau juga mendakwa, ketua menteri telah meneruskan pindaan kepada Perlembagaan Sabah pada Mei 2023 untuk mengelakkan ‘lompat parti’ dan mengekalkan majoriti gabungannya di DUN.

Dengan mengatakan terdapat tekanan besar, Tei berkata beliau mula merakam secara rahsia pertemuannya dengan sembilan Adun.

Dia kemudian menyerahkan rakaman itu kepada SPRM, mendakwa ia mengandungi bukti langsung rasuah.

Tei seterusnya mendakwa ada usaha sesetengah pihak untuk menutup mulutnya, dengan yang lain mendesaknya mengeluarkan kenyataan palsu bagi menggambarkan jumlah yang dibayar sebagai ‘derma’ semata-mata.

Pada 29 April, Tei berkata dia menyerahkan hampir 300 muka surat bukti baharu kepada SPRM, yang menurut peguamnya mendedahkan penyalahgunaan kuasa, jejak wang melibatkan proksi dan pemindahan saham secara sulit.

Pada Mei, SPRM mengumumkan ia memperoleh laporan forensik dan meneruskan siasatan.

Naratif balas

Pendedahan awal menyebabkan pentadbiran Hajiji berada dalam situasi sukar, tetapi ketua menteri kelihatan tidak terjejas.

Dari semasa ke semasa, naratif balas yang kukuh telah muncul, menggambarkan peristiwa itu sebagai ‘permainan kuasa politik’ dan bukannya kes melibatkan rasuah secara meluas.

Pada 18 Jun, ketika menjawab berita mengenai pertuduhan akan berlaku terhadap dua Adun, Hajiji menegaskan kes itu ‘tidak akan menjejaskan kerajaan negeri’.

Namun, beliau dijangka mengambil pendirian tegas dan mungkin menuntut peletakan jawatan serta-merta, memetik keperluan untuk mereka membersihkan nama di mahkamah kerana memegang jawatan diamanahkan.

SMM telah mengambil tindakan undang-undangnya sendiri, memfailkan saman sivil terhadap bekas ketua pegawai eksekutifnya, Jontih Enggihon, dan Tei, mendakwa wujudnya penipuan, pecah amanah dan konspirasi untuk memanipulasi pengeluaran lesen cari gali — dakwaan yang dinafikan keras oleh kedua-duanya.

Kes itu belum selesai di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu.

Maklum balas rasmi dan gesaan proses sewajarnya

Skandal yang berlaku telah mendorong tindak balas daripada pemimpin utama negeri dan persekutuan, yang semuanya menekankan keperluan untuk mematuhi proses undang-undang.

Hajiji secara konsisten menafikan semua tuduhan terhadapnya, menegaskan dia dan kerajaannya ‘tidak ada apa-apa untuk disembunyikan’, dan menyifatkan ia sebagai percubaan bermotif politik untuk melemahkan pentadbirannya.

SPRM sejak itu telah membersihkan ketua menteri daripada sebarang salah laku, selepas mengambil keterangan daripadanya sebanyak dua kali secara berasingan.

Pada April, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki mengesahkan Hajiji memberikan kerjasama penuh sejak awal, sambil menambah kerajaan negeri tidak campur tangan dalam siasatan pada mana-mana peringkat.

Dalam pada itu, ketua menteri sendiri secara terbuka meminta pihak berkuasa menyiasat kedua-dua pemberi dan penerima rasuah yang didakwa, mengulangi komitmennya terhadap ketelusan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Armizan Mohd Ali, juga menafikan sekeras-kerasnya dakwaan salah laku terhadapnya.

Timbalan setiausaha agung GRS menyifatkan dakwaan bahawa beliau telah pergi ke Jakarta pada 2023 untuk merundingkan perjanjian galian yang dikatakan ‘rahsia’ sebagai ‘fitnah semata-mata’, menjelaskan beliau berada di sana atas urusan rasmi.

Armizan juga mencabar ahli politik pembangkang yang memperbesarkan mesej layang berhubung tuduhan itu untuk menamakan sumber mereka, dan mengancam mereka dengan tindakan undang-undang kerana memfitnah.

Speaker Sabah Kadzim Yahya, yang turut dikaitkan oleh Tei dalam video dirakam secara rahsia, juga menafikan dakwaan rasuah. Beliau dilaporkan oleh The Star sebagai berkata dia telah ‘diperangkap’, dan mengumumkan rancangan untuk membuat laporan polis bagi membersihkan namanya.

Bagi Perdana Menteri Anwar Ibrahim, beliau menegaskan tidak akan campur tangan dalam siasatan itu.

“Siasatan adalah tugas SPRM atau polis. Pendakwaan adalah tugas peguam negara. Penghakiman adalah tugas mahkamah.

“Peranan perdana menteri adalah untuk memastikan keseluruhan sistem berfungsi dengan baik,” katanya yang dipetik Malay Mail.

Anwar juga menekankan kepentingan proses yang wajar dan keperluan untuk menegakkan kedaulatan undang-undang.

Peranan dan cabaran SPRM

SPRM telah bertindak sebagai badan penyiasat utama dalam perkara itu.

Ia menamatkan siasatan awalnya terhadap Jontih dan Tei pada awal tahun ini dan menyerahkan penemuannya pada 21 Jan kepada Jabatan Peguam Negara untuk semakan dan tindakan.

Bagaimanapun, badan antirasuah itu menjadi perhatian pada bulan berikutnya apabila Azam mendakwa analisis forensik terhadap lapan klip video awal mendedahkan wujud elemen penyuntingan dan pengubahsuaian lain.

Beliau berkata, berikutan itu SPRM berpandangan rakaman tersebut ‘kurang kredibiliti’ dan tidak akan diterima sebagai bukti di mahkamah.

Bagaimanapun, susulan penyerahan 10 video baharu yang tidak disunting oleh Lawyers for Liberty pada 11 Mac, SPRM berkata ia menjalankan analisis forensik yang menyeluruh, melihat suntingan, ‘break in frame’, serta pengubahsuaian lain, serta audionya juga perlu diteliti.

Mengerahkan pasukan besar untuk menjalankan siasatan menyeluruh di Sabah, SPRM memanggil Tei dan lapan Adun untuk disoal siaat lanjut. Ia juga mengumpul bukti audio, video dan dokumentari tambahan.

Ini membawa penahanan dua individu disyaki meminta dan menerima rasuah RM200,000 pada 18 Jun lalu. Kedua-dua lelaki itu ditahan selepas masing-masing hadir ke pejabat SPRM di Putrajaya dan Kota Kinabalu. Kedua-duanya dibebaskan dengan ikat jamin.

Penahanan ketiga menyusul lima hari kemudian.

Kestabilan dan kepercayaan

Setakat ini, Hajiji menunjukkan kepimpinan stabil dan mantap dalam mengharungi pergolakan politik dicetuskan oleh dakwaan itu, meredakan potensi krisis yang timbul oleh penarikan diri BN Sabah dan memelihara kestabilan kerajaan untuk mengelakkannya runtuh pada penggal pertengahan serta PRN awal.

Keterbukaannya terhadap penyiasatan, menghormati kebebasan SPRM dan keazaman untuk membanteras rasuah dalam kerajaan negeri berkemungkinan mengukuhkan kepercayaan orang ramai terhadap ikrar gabungannya menegakkan tadbir urus bersih.

Akhirnya, keseluruhan kisah sebenar mengenai apa yang berlaku hanya akan menjadi jelas beberapa tahun dari sekarang, apabila semua prosiding sivil dan jenayah selesai sepenuhnya.

Namun, dengan PRN dijangka berlangsung selewat-lewatnya Disember tahun ini, pendapat awam bakal memberikan keputusannya lebih awal.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.