
Ahli Parlimen Pandan itu berkata, walaupun Jabatan Peguam Negara (AGC) telah menangani kebimbangan tersebut dari sudut perundangan dan pentadbiran, kelewatan itu hanya akan mengukuhkan lagi spekulasi bahawa cabang eksekutif sedang mencari hakim yang ‘lebih serasi dengan pandangan kerajaan’.
“Jika tanggungjawab perdana menteri di bawah Perlembagaan (Persekutuan) adalah melindungi kebebasan, kredibiliti dan integriti badan kehakiman seperti kenyataan AGC, maka perkara-perkara yang boleh mengundang spekulasi seperti itu (cubaan mempengaruhi pelantikan hakim) perlulah dielakkan, kalau pun ia tidak melanggar tatacara prosedur,” katanya dalam kenyataan.
Awal hari ini, Jabatan Peguam Negara menolak gesaan agar satu suruhanjaya siasatan diraja (RCI) dan jawatankuasa pilihan khas Parlimen ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan ketidakteraturan dalam pelantikan kehakiman.
Menurut jabatan itu, proses pelantikan berjalan mengikut Perlembagaan dan sebarang dakwaan wujudnya krisis adalah tidak berasas.
“Percanggahan tempoh masa atau prosedur dalam hal berkaitan pelantikan tidak semestinya merupakan satu satu krisis Perlembagaan,” katanya.
Memetik Perkara 122B Perlembagaan, jabatan itu berkata, hakim mahkamah atasan dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat perdana menteri, selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.
Menjawab dakwaan kelemahan prosedur, termasuk mesyuarat diadakan tanpa notis mencukupi, jabatan itu berkata, Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) mempunyai kuasa mengawal selia prosedurnya sendiri,
“Perkara bersifat prosedur tidak seharusnya menjejaskan kesahan pertimbangan JAC melainkan wujud unsur mala fide atau atau prejudis yang jelas,” katanya.
Jabatan itu berkata, tuduhan bahawa seorang hakim Mahkamah Persekutuan terlibat dalam mempengaruhi keputusan mahkamah dan penugasan semula hakim merupakan dakwaan yang serius.
Katanya, pertimbangan dalam mesyuarat JAC berstatus rahsia dan dilindungi undang-undang. Tuduhan tersebut tidak boleh disamakan dengan salah laku yang dibuktikan, tambahnya.
Bagaimanapun, Rafizi berkata, integriti badan kehakiman tidak hanya bergantung pada prosedur.
“Lebih penting, integriti badan kehakiman perlu diyakini oleh rakyat dan pemegang taruh, yang menilai perkara-perkara secara keseluruhan dalam konteks rentetan peristiwa yang berlaku,” katanya.