Lebih 100 persatuan bakal sertai himpunan solidariti kepimpinan Hajiji

Lebih 100 persatuan bakal sertai himpunan solidariti kepimpinan Hajiji

Penasihat Gerakan Bangkit Sabahan Zulkarnain Mahdar berkata himpunan itu akan diadakan di Padang Merdeka pada 26 Julai.

Zulkarnain Mahdar berkata dianggarkan 10,000 orang akan hadir himpunan Bangkit Sabahan 2.0.
PETALING JAYA:
Lebih 100 persatuan dari seluruh Sabah bakal menyertai himpunan Bangkit Sabahan 2.0 di Padang Merdeka, Kota Kinabalu pada 26 Julai ini.

Penasihat Gerakan Bangkit Sabahan, Zulkarnain Mahdar berkata perhimpunan itu dianjurkan sebagai solidariti kepada kepimpinan Ketua Menteri, Hajiji Noor dalam usaha mempertahankan hak-hak rakyat dan kedaulatan negeri itu.

“Hampir lebih 100 persatuan dari seluruh negeri akan menghantar perwakilan dan ahli masing-masing.

“Jumlah kehadiran dianggarkan mencecah 10,000 orang, menjadikan perhimpunan ini antara yang terbesar pernah dianjurkan di Sabah,” katanya dalam kenyataan.

Zulkarnain yang juga pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) berkata satu memorandum sokongan akan diserahkan kepada Hajiji sebagai simbolik komitmen rakyat untuk terus bersama kepimpinan beliau tanpa rasa gentar terhadap sebarang tekanan.

Tambahnya, beberapa tokoh aktivis masyarakat, ahli politik serta pemimpin belia dijangka turut hadir dan akan menyampaikan ceramah sepanjang berlangsungnya perhimpunan tersebut.

Dalam pada itu, Zulkarnain berkata keputusan membatalkan himpunan yang dijadualkan bulan lalu atas dasar akur kepada nasihat polis.

“Ini bagi mengelakkan pertindihan dengan penganjuran Himpunan Gempur Rasuah oleh sekumpulan kecil mahasiswa dari Universiti Malaysia Sabah (UMS),” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.