
Saifuddin berkata peruntukan itu susulan kata sepakat dicapai antara Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Presiden Indonesia, Joko Widodo dalam pertemuan kedua-dua pemimpin itu Januari lalu.
“Setelah kita kenal pasti sempadan, (langkah) menyusulnya ialah agensi kawal selia. Misalnya kalau Kementerian Kerja Raya maka ia akan menyusuli rancangan untuk melengkapkan infrastruktur jalan masuk dan sebagainya.
“Kalau bab komunikasi, kementerian berkaitan akan melengkapkan fasiliti pencawang. Kalau tak macam mana Jabatan Imigresen beroperasi tanpa liputan,” katanya selepas menghadiri Intan Minister’s Conversation (IMC) 2025 di Auditorium Intan Bukit Kiara.
Beliau berkata, keutamaan pada masa ini adalah laluan pintu masuk di Serudong di Tawau, Sabah yang masih ada beberapa isu untuk diselesaikan dengan pihak berkuasa Indonesia.
“Dari segi memuktamadkan formaliti dan kita semua sedang menjurus ke arah itu,” katanya.
Tahun lalu, Saifuddin dilaporkan berkata kerajaan mengkaji pembukaan beberapa pintu sempadan baharu membabitkan kawasan yang telah dipersetujui dengan kerajaan Indonesia.
Katanya, ia melihat kepada keperluannya pada masa akan datang selepas ibu kota republik itu berpindah dari Jakarta ke Kalimantan.
Pada 20 Jan lalu, Anwar mengumumkan peruntukan RM1 bilion bagi membangunkan kemudahan dan meningkatkan keselamatan di sepanjang sempadan Sarawak dan Sabah dengan Kalimantan, Indonesia.
Perdana menteri berkata, keputusan dibuat selepas pertemuan dengan presiden Indonesia semasa lawatan kerja ke negara itu.
“Kita telah putuskan untuk memberi peruntukan tambahan bagi penyediaan Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS), pos kawalan polis dan tentera serta prasarana asas seperti kemudahan jalan raya.
“Kita tidak mahu dilihat terlalu daif. Kementerian Kewangan telah memberikan kelulusan awal berjumlah RM1 bilion untuk memulakan kerja ini dalam tempoh segera,” katanya.
Sempadan darat Malaysia-Indonesia di pulau Borneo adalah sepanjang 1,881km.