
Menteri Saifuddin Nasution Ismail, berkata langkah tersebut dilaksana susulan masalah memiliki data ‘boleh dipercayai’ didepani selama ini.
“Sekarang pendaftaran (pelarian) dibuat Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR), namun proses perkongsian data itu panjang.
“Maka, KDN diminta Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk mengetuai proses mendaftar pelarian,” katanya selepas menghadiri Intan Minister’s Conversation (IMC) 2025 bertemakan ‘Negara Kita, Keselamatan Tanggungjawab Bersama’ di Auditorium Intan Bukit Kiara.
Menurutnya, kementerian kini sedang menjalani proses perolehan melantik vendor.
“Kita akan guna infra yang ada dalam KDN misalnya Jabatan Imigresen. Kami ada lebih 70 jabatan berkenaan di seluruh negara,” katanya.
Pada Julai 2024, Saifuddin dilaporkan berkata, kata sepakat berhubung perkongsian data pelarian antara pihaknya dengan UNHCR belum dicapai, setelah tiga pusingan rundingan diadakan.
Beliau ketika itu berkata, pihaknya masih menilai beberapa aspek, selain perlu mengharmonikan perspektif hak asasi manusia bagi pelarian yang bukan sekadar mengikut acuan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), tetapi turut selari dengan konteks tempatan.