Jelaskan mengapa rundingan tarif AS gagal, Ahli Parlimen gesa kerajaan

Jelaskan mengapa rundingan tarif AS gagal, Ahli Parlimen gesa kerajaan

Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan berkata matlamat rundingan sepatutnya turunkan kadar tarif sebelum ini.

Wan Saiful Wan Jan
Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan berkata rundingan diketuai oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Aziz di Washington baru-baru ini gagal mempertahankan kepentingan negara dan industri tempatan.
PETALING JAYA:
Seorang Ahli Parlimen pembangkang menggesa kerajaan memberi penjelasan berhubung kegagalan rundingan tarif dengan Amerika Syarikat (AS), yang menyaksikan kadar tarif dinaikkan kepada 25% selepas rundingan.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan berkata rundingan diketuai oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Aziz di Washington baru-baru ini dianggap gagal mempertahankan kepentingan negara dan industri tempatan.

“Sepatutnya matlamat rundingan ialah untuk menurunkan kadar tarif itu. Ini bukti jelas kerajaan gagal memenuhi harapan rakyat dalam hal tarif.

“Ini juga bukti jelas menteri bertanggungjawab gagal mempertahankan kepentingan negara,” katanya di Facebook.

Dalam sepucuk surat kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Presiden Donald Trump menyatakan tarif 25% bermula 1 Ogos terhadap barangan Malaysia adalah ‘jauh lebih rendah’ daripada apa yang diperlukan untuk menamatkan defisit perdagangan AS dengan Malaysia.

Trump turut memberi amaran sebarang percubaan mengalihkan barangan melalui negara lain bagi mengelak tarif akan dikenakan kadar tarif yang lebih tinggi.

Beliau juga memberi amaran sekiranya Malaysia mengenakan tarif terhadap barangan AS sebagai tindak balas, tarif tambahan sebanyak 25% akan dikenakan oleh pihaknya.

Malaysia sebelum ini dikenakan tarif 24% ke atas sesetengah eksport ke AS, kecuali jika kedua-dua pihak dapat mencapai perjanjian sebelum tamatnya tempoh bertenang selama 90 hari yang berakhir hari ini.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti) dalam kenyataan berkata Malaysia tetap komited untuk terus berunding dengan AS bagi mencapai perjanjian perdagangan yang ‘seimbang’ dan ‘saling menguntungkan’, susulan pengumuman Trump itu.

Sambil menyatakan komitmen kerajaan untuk melindungi kepentingan perniagaan, pekerja dan pengguna di Malaysia, Miti berkata Putrajaya akan mengambil ‘segala langkah perlu’ untuk mengurangkan kesan tarif berkenaan, yang lebih tinggi daripada 24% dikenakan sebelum ini.

Miti turut menekankan hubungan ekonomi jangka panjang Malaysia-AS, dengan menyatakan jumlah dagangan antara kedua-dua negara melonjak hampir 30% pada tahun 2024, kepada RM324.9 bilion (USD71.4 bilion).

AS kekal sebagai rakan dagang kedua terbesar Malaysia dan destinasi eksport utama, menjadikan kerjasama ekonomi dua hala penting untuk pekerjaan, pelaburan dan pertumbuhan mampan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.