GRS sudah lakukan yang terbaik, ‘terpulang pada rakyat’ beri peluang lagi

GRS sudah lakukan yang terbaik, ‘terpulang pada rakyat’ beri peluang lagi

Pengerusi GRS berkata, banyak inisiatif diambil kerajaan GRS-PH sepanjang hampir lima tahun mentadbir yang tak pernah dilaksana pentadbiran terdahulu.

hajiji
Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor tidak tolak kemungkinan sidang DUN Sabah kali ini merupakan yang terakhir sebelum dibubarkan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sudah melakukan yang terbaik, jadi terpulang kepada rakyat Sabah sama ada ingin beri peluang sekali lagi kepada gabungan itu bersama PH terajui kerajaan negeri pada PRN17, kata Hajiji Noor.

Pengerusi GRS itu berkata, pelbagai inisiatif demi kesejahteraan rakyat telah diambil oleh GRS-PH sepanjang hampir lima tahun mentadbir negeri itu, termasuk memberikan peruntukan besar untuk pelajar dan bantuan kepada golongan kurang berkemampuan, yang tidak pernah dilaksanakan oleh pentadbiran sebelum ini.

“Kita sudah buat yang terbaik walaupun masih banyak lagi yang patut kita lakukan,” kata ketua menteri Sabah itu selepas menghadiri sidang DUN Sabah di Kota Kinabalu hari ini, lapor Bernama.

“Ada lagi masalah, masalah air yang kita warisi dari dahulu. Tetapi kerajaan hari ini telah dan sedang melaksanakan projek menaik taraf loji-loji kita untuk memperbaiki bekalan air di Sabah.”

Dalam pada itu, Hajiji tidak menolak kemungkinan sidang kali ini merupakan yang terakhir sebelum DUN dibubarkan namun tarikh pembubaran itu masih belum dimuktamadkan dan perbincangan mengenainya masih dilakukan.

Ahad lepas, Speaker DUN Sabah Kadzim M Yahya dilaporkan berkata, DUN Sabah ke-16 akan terbubar secara sendiri pada 11 Nov ini sekiranya tidak dibubarkan sebelum tarikh itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.