
Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Hakim Nallini Pathmanathan bersama Rhodzariah Bujang dan Hanipah Farikullah sebulat suara menolak rayuan Khairul Azizi Abdul Jalil dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi serta Mahkamah Rayuan.
Dalam penghakiman yang dibacakan, Nallini menjelaskan pihak pendakwaan dibenarkan secara sah mengemukakan keterangan psikiatri semasa membuktikan kes prima facie, dan bukan hanya sebagai keterangan balas, sekiranya ia relevan untuk membuktikan elemen kesalahan.
Beliau berkata, tiada salah laksana keadilan berlaku terhadap perayu apabila pihak pendakwaan mengemukakan keterangan pakar psikiatri forensik Ian Lloyd Anthony, dan menambah Khairul Azizi gagal membuktikan pembelaan tidak siuman berdasarkan imbangan kebarangkalian.
“Daripada keseluruhan keterangan, sabitan terhadap perayu adalah selamat dan dia telah diberi peluang sepenuhnya untuk membela diri tanpa sebarang prejudis,” katanya.
Khairul Azizi, yang menguruskan inap desa milik bapanya, disabitkan bersalah dan dihukum gantung Mahkamah Tinggi Ipoh pada Disember 2022 atas tuduhan membunuh Aidah Tursinawati, 43, di sebuah rumah di Kampung Tersusun Tasek, Ipoh, pada 3.25 petang, 9 Okt 2017.
Pada Jun tahun lalu. Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan, tetapi membenarkan rayuan menggantikan hukuman mati kepada penjara 35 tahun dan 12 sebatan.
Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Iskandar Ahmad, Tengku Shahrizam Tuan Lah, Ng Siew Wee, dan Mohd Arif Aizuddin Masrom.