Dana syarikat atas tanggungjawab lembaga pengarah SRC, bukan Najib, kata peguam

Dana syarikat atas tanggungjawab lembaga pengarah SRC, bukan Najib, kata peguam

Peguam Najib Razak juga nafi dakwaan SRC International bahawa beliau bertindak sebagai pengarah bayangan syarikat itu.

najib nik faisal
SRC International menyaman bekas perdana menteri Najib Razak (kiri) dan bekas CEO Nik Faisal Ariff Kamil sebanyak USD1.18 bilion.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi di sini diberitahu lembaga pengarah dan pengurusan SRC International Sdn Bhd mempunyai kawalan eksklusif terhadap operasi syarikat dan dana pinjaman yang diterima daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP).

Peguam Farhan Shafee Abdullah – yang mewakili bekas perdana menteri Najib Razak dalam saman sivil USD$1.18 bilion oleh SRC terhadap beliau dan bekas ketua pegawai eksekutif SRC, Nik Faisal Ariff Kamil – berhujah bahawa anak guamnya tidak mempunyai kawalan terhadap syarikat tersebut.

Farhan berkata semua transaksi dilakukan lembaga pengarah, yang turut bertanggungjawab mengawasi urusan syarikat.

“Jika berlaku sebarang penyelewengan, ia hasil daripada keputusan lembaga pengarah itu sendiri.

“Meskipun mengambil arahan dikatakan datang daripada Najib, tanggungjawab akhir tetap terletak pada lembaga pengarah untuk menguruskan dana dengan betul mengikut parameter tersebut,” katanya.

Farhan turut menolak dakwaan SRC bahawa Najib bertindak sebagai pengarah bayangan atau pengawal de facto syarikat itu.

Beliau berhujah Najib bukan sebahagian daripada lembaga tadbir urus syarikat dan tidak memikul tanggungjawab fidusiari seorang pengarah.

“Bukti menunjukkan lembaga pengarah SRC membuat keputusan secara bebas dan tidak biasa menerima arahan daripada Najib,” katanya.

Farhan menambah SRC tidak mengemukakan sebarang bukti bahawa Najib pernah mengeluarkan arahan mengikat kepada lembaga pengarah berhubung hal ehwal operasi syarikat.

Beliau berkata saksi syarikat itu sendiri, bekas ketua pengurusan kekayaan Bank BSI, Kevin Swampillai, memberi keterangan yang beliau tidak menerima, melihat atau menyedari sebarang arahan daripada Najib untuk mengarahkan pemindahan atau pelaburan dana SRC.

“Semua arahan berkaitan pergerakan dana datang daripada Jho Low dan pegawai SRC, termasuk (bekas pengarah) Suboh Yasin – bukan daripada Najib. Ini merupakan pengakuan penting daripada saksi pihak plaintif sendiri.

“Walaupun Najib memegang jawatan tinggi, tiada satu pun arahan daripada beliau pernah disampaikan kepada bank yang menguruskan dana tersebut,” katanya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Ahmad Fairuz Zainol Abidin akan bersambung pada tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

SRC International menyaman Najib dan Nik Faisal – yang masih diburu – kerana didakwa menyelewengkan harta syarikat dan berkomplot untuk menggunakannya bagi kepentingan peribadi.

Penghakiman ingkar telah dimasukkan terhadap Nik Faisal kerana gagal hadir ke mahkamah.

Saman tersebut pada asalnya turut menamakan bekas pengerusi SRC Ismee Ismail dan bekas pengarah Suboh Yasin, Shahrol Azral Ibrahim Halmi, Azhar Osman Khairuddin serta Che Abdullah @ Rashidi Che Omar sebagai defendan bersama.

Namun begitu, SRC kemudiannya menarik balik saman terhadap mereka, tetapi Najib menamakan mereka sebagai pihak ketiga dalam pembelaannya.

Najib kini sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang kerana menyeleweng RM42 juta daripada SRC International.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.