AS umum tarif 25% ke atas Malaysia

AS umum tarif 25% ke atas Malaysia

Kadar itu juga lebih tinggi daripada tarif 24% dikenakan ke atas eksport tertentu dari Malaysia ke AS pada mulanya, yang diberikan penangguhan 90 hari berakhir hari ini.

Donald Trump
Presiden AS Donald Trump memberi amaran jika Malaysia bertindak balas dengan menaikkan tarif terhadap produk dari AS, ia akan mengenakan kadar tambahan ke atas tarif 25% ditetapkan. (Gambar AP)
PETALING JAYA:
Amerika Syarikat mengenakan tarif 25% ke atas Malaysia mulai 1 Ogos ini, yang menurut Presiden Donald Trump “jauh lebih rendah” daripada apa diperlukan untuk menghapuskan defisit perdagangan antara dua negara.

Kadar itu juga lebih tinggi daripada tarif 24% dikenakan ke atas eksport tertentu dari Malaysia ke AS pada mulanya, yang diberikan penangguhan 90 hari, berakhir hari ini.

Trump dalam surat kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim yang dimuat naik ke platform Truth Socialnya berkata, dasar perdagangan semasa Malaysia menjadikan hubungan dagangannya dengan AS sebahagian besarnya berat sebelah dan bukan timbal balik.

Katanya, beliau bersedia menurunkan tarif 25%, jika Malaysia mengubah dasar perdagangannya.

Beliau berkata, tarif itu akan dilaksanakan secara bebas tanpa mengira tarif khusus sektor lain sedia ada dan penalti akan dikenakan jika barangan dihantar melalui negara ketiga.

Trump memberi amaran jika Malaysia bertindak balas dengan menaikkan tarif terhadap produk dari AS, ia akan mengenakan kadar tambahan ke atas tarif 25% ditetapkan.

“Sila faham tarif ini perlu untuk memperbetulkan dasar tarif dan bukan tarif Malaysia serta halangan perdagangan bertahun-tahun yang menyebabkan defisit perdagangan tidak mampan terhadap AS.”

Trump dalam suratnya turut menekankan komitmen berterusan Washington terhadap hubungan perdagangannya dengan Malaysia, walaupun wujud defisit perdagangan ketara dengan negara itu.

Beliau juga menggalakkan penyertaan lebih besar syarikat Malaysia dalam ekonomi AS, yang disifatkannya “pasaran nombor satu” di dunia.

“Seperti yang anda sedia maklum, tiada tarif akan dikenakan sekiranya Malaysia atau syarikat dalam negara anda membuat keputusan untuk membina atau mengeluarkan produk di AS.

“Malah, kami akan melakukan semua yang mungkin untuk memberi kelulusan dengan cepat, profesional dan rutin – dengan kata lain, dalam masa beberapa minggu.”

Trump turut mengeluarkan surat sama kepada beberapa negara lain, termasuk Jepun, Korea Selatan, Indonesia, Bangladesh, Thailand dan Afrika Selatan.

Selain Malaysia, Jepun, Korea Selatan, Kazakhstan turut dikenakan kadar tarif sama 25%.

Afrika Selatan dikenakan tarif 30%, manakala Laos dan Myanmar tertinggi sebanyak 40%.

Setakat ini, hanya Britain dan Vietnam berjaya mencapai perjanjian awal dengan AS bagi mengelak dikenakan tarif baharu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.