
Dalam satu kenyataan, AGC berkata proses pelantikan berjalan mengikut Perlembagaan Persekutuan, dan sebarang dakwaan wujudnya krisis adalah tidak berasas.
“Percanggahan tempoh masa atau prosedur dalam hal berkaitan pelantikan tidak semestinya merupakan satu satu krisis perlembagaan,” katanya.
Memetik Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan, AGC berkata hakim mahkamah atasan dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat perdana menteri, selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.
AGC berkata walaupun Parlimen sentiasa boleh meneliti hal tatakelola melalui penubuhan jawatankuasanya, namun hal pelantikan di bawah Perlembagaan Persekutuan hendaklah ditangani secara cermat supaya perjalanan kuasa oleh Yang di-Pertuan Agong dan perdana menteri tidak dijadikan polemik politik.
“Kedua-dua institusi ini hendaklah menjalankan kuasa secara bebas sebagaimana yang termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan,” kata kenyataan itu.
AGC mengulas tuntutan oleh Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli dan beberapa Ahli Parlimen PKR lain untuk satu RCI dan pendengaran oleh jawatankuasa pilihan khas Parlimen berikutan kelewatan dalam pelantikan jawatan kehakiman tertinggi, termasuk ketua hakim negara.
Menjawab dakwaan kelemahan prosedur, termasuk mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) dipanggil tanpa notis yang mencukupi, AGC berkata suruhanjaya itu mempunyai kuasa untuk mengawal selia prosedurnya sendiri.
“Apabila terdapat keadaan yang mendesak, pada lazimnya pihak berkuasa boleh meneruskan mesyuarat dengan notis yang pendek sekiranya terdapat persetujuan semua anggota.
“Perkara bersifat prosedur tidak seharusnya menjejaskan kesahan pertimbangan JAC melainkan wujud unsur mala fide atau atau prejudis yang jelas,” katanya.
AGC berkata tuduhan bahawa seorang hakim Mahkamah Persekutuan terlibat dalam mempengaruhi keputusan mahkamah dan penugasan semula hakim merupakan dakwaan yang serius.
Katanya, pertimbangan dalam mesyuarat JAC adalah berstatus rahsia dan dilindungi undang-undang, serta tuduhan tersebut tidak boleh disamakan dengan salah laku yang dibuktikan.
AGC menambah perbandingan dengan kes VK Lingam pada 2007, yang membawa kepada penubuhan RCI, adalah ‘tidak wajar’.
“Keadaan tersebut adalah berbeza dengan senario semasa, yang mana tuduhan dan dakwaan hanya bersandarkan kepada ketidakteraturan aspek prosedur dan anggapan yang tidak disokong bukti kukuh,” katanya.
AGC juga menggesa semua pihak supaya menegakkan kedaulatan undang-undang dan prinsip pemisahan kuasa, sambil memberi amaran bahawa tekanan awam yang tidak wajar atau naratif politik boleh menjejaskan integriti institusi.
Dakwaan berlakunya krisis perlembagaan timbul menjelang persaraan wajib Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat, dan Presiden Mahkamah Rayuan, Abang Iskandar Abang Hashim, minggu lalu.
Walaupun masih belum jelas siapa yang akan dilantik untuk mengisi dua jawatan tertinggi itu, Hakim Besar Malaya Hasnah Hashim kini menjalankan tugas sebagai pemangku ketua hakim negara manakala Hakim Mahkamah Persekutuan Zabariah Yusof dilantik sebagai pemangku Presiden Mahkamah Rayuan.
Semalam, Ketua Penerangan PKR Sarawak Abun Sui Anyit mengkritik gesaan untuk menubuhkan RCI sebagai tidak wajar dan berpotensi menjejaskan keyakinan awam terhadap badan kehakiman.
Memetik Perkara 131A Perlembagaan Persekutuan, beliau berkata seorang hakim Mahkamah Persekutuan diberi kuasa untuk menjalankan tugas ketua hakim negara secara interim, memastikan mahkamah terus berfungsi tanpa gangguan.
Beliau turut menegaskan bahawa pelantikan ketua hakim negara bukanlah tanggungjawab perdana menteri semata-mata, tetapi satu proses yang melibatkan empat institusi utama: JAC, perdana menteri, Majlis Raja-Raja, dan Yang di-Pertuan Agong.