2 beranak ditahan terbabit kes bunuh pemandu e-panggilan

2 beranak ditahan terbabit kes bunuh pemandu e-panggilan

Polis berkata motif kejadian dipercayai akibat hutang.

garisan kuning
Ketua Polis Ampang Jaya Mohd Azam Ismail berkata kes itu pada awalnya diklasifikasikan kematian mengejut, sebelum hasil bedah siasat mendapati terdapat unsur jenayah.
PETALING JAYA:
Dua beranak ditahan kerana disyaki terbabit kes bunuh seorang lelaki yang juga pemandu e-panggilan di Taman Pandan Perdana, Ampang, bulan lalu.

Ketua Polis Ampang Jaya Mohd Azam Ismail berkata pihaknya menerima panggilan daripada penolong pegawai perubatan Hospital Kuala Lumpur kira-kira 7.16 malam 22 Jun lalu memaklumkan kematian mangsa berusia 37 tahun.

Beliau berkata kes itu pada awalnya diklasifikasikan kematian mengejut, tetapi hasil bedah siasat Unit Forensik Hospital Ampang keesokannya mendapati terdapat unsur jenayah.

“Siasatan kes kemudiannya diklasifikasikan semula bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan.

Azam berkata sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (D9) IPD Ampang Jaya menahan dua lelaki tempatan yang tiada rekod jenayah lampau dan saringan air kencing mereka juga negatif dadah.

Katanya suspek pertama ialah anak berusia 36 tahun yang bekerja sendiri, manakala suspek kedua ialah bapa kepada suspek pertama berusia 73 tahun yang tidak bekerja.

Beliau berkata mangsa yang tinggal dalam kenderaannya merupakan rakan karib dua beranak itu.

Menurutnya polis turut merampas sebatang rotan buluh dan playar boleh laras dipercayai digunakan semasa kejadian.

Katanya suspek pertama direman 14 hari sehingga 10 Julai ini, manakala suspek kedua direman 13 hari sehingga 11 Julai untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Azam berkata, siasatan awal motif kejadian dipercayai akibat hutang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.