Usul Hamzah ganti Muhyiddin publisiti murahan, kata Pemuda

Usul Hamzah ganti Muhyiddin publisiti murahan, kata Pemuda

Ketua Penerangan Pemuda Bersatu Harris Idaham Rashid turut dakwa usul Port Dickson itu tidak cermin pendapat akar umbi.

Ketua Penerangan Pemuda Bersatu, Harris Idaham Rashid, berkata sayap itu akan pertahan institusi presiden dipegang Muhyiddin Yassin dari diancam luar dan dalam. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Pemuda Bersatu menyifatkan tindakan bahagian Port Dickson lulus usul mencadangkan peralihan kepimpinan nasional secara terancang dengan Hamzah Zainudin mengambil alih pimpinan daripada Muhyiddin Yassin, sebagai mencari publisiti murahan.

Ketua Penerangan Pemuda Bersatu, Harris Idaham Rashid, turut mendakwa usul itu tidak mencerminkan pendapat akar umbi secara keseluruhan.

“Pemuda Bersatu bertegas akan mempertahankan institusi presiden daripada ancaman luar mahupun dalam.

“Sayap Pemuda Bersatu berpendirian tegas Muhyiddin adalah presiden yang mendapat mandat daripada seluruh akar umbi parti untuk mentadbir Bersatu sehingga habis penggal. Sokongan terhadap presiden tidak berbelah bahagi,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, usul diluluskan Bersatu Port Dickson itu mencadangkan Hamzah sebagai ‘pemimpin barisan utama’, dan Naib Presiden Radzi Jidin untuk memimpin pengurusan parti.

Sementara itu, Muhyiddin pula dicadangkan berperanan penasihat dan mentor.

Usul itu tidak secara langsung mencadangkan Hamzah menduduki kerusi presiden.

Timbalan Ketua Bersatu Port Dickson, Akkil Aizat Othman memberitahu FMT bahawa usul itu bukan bertujuan menolak kepimpinan Muhyiddin.

Muhyiddin dan Hamzah masing-masing tidak dicabar dalam pemilihan Oktober. Hal ehwal pentadbiran parti ketika ini diuruskan Setiausaha Agung Azmin Ali.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.