
Mengulas amaran Presiden Amerika Syarikat Donald Trump bahawa negara-negara yang bersekutu dengan blok itu akan dikenakan tarif tambahan 10%, Miti menegaskan bahawa Malaysia mengamalkan ‘dasar luar dan ekonomi yang bebas’.
“Penglibatan (Malaysia) dengan mana-mana platform pelbagai hala tertumpu pada pemudahan perdagangan dan pembangunan mampan,” kata jurucakap.
“AS kekal sebagai antara rakan ekonomi utama Malaysia, bukan sahaja melalui perdagangan malah juga menerusi pelaburan Amerika yang bernilai berbilion dolar yang telah bertapak di Malaysia selama lebih 50 tahun.”
Menerusi hantaran di rangkaian Truth Social miliknya, Trump menuduh BRICS bersifat ‘anti-Amerika’ selepas blok itu mengecam tarifnya di sebuah sidang kemuncak di Rio de Janeiro semalam.
Bagaimanapun, China menjelaskan bahawa BRICS bukan mencari ‘konfrontasi’
“China telah berulang kali menyatakan pendirian bahawa perang dagangan dan tarif tiada pemenang, dan dasar perlindungan tidak menawarkan jalan ke hadapan,” kata jurucakap kementerian luar, Mao Ning.
Beijing mempertahankan kumpulan itu sebagai ‘platform penting untuk kerjasama antara pasaran baru muncul dan negara-negara membangun’.
“(Blok ini) memperjuangkan keterbukaan, keterangkuman dan kerjasama yang saling menguntungkan. Ia tidak terlibat dalam konfrontasi antara kem dan tidak disasarkan terhadap mana-mana negara,” katanya.