Majoriti sokong penuh Muhyiddin, ikut keputusan PAT 2024, kata Tun Faisal

Majoriti sokong penuh Muhyiddin, ikut keputusan PAT 2024, kata Tun Faisal

Ketua penerangan Bersatu ulas usul Bersatu Port Dickson usul Timbalan Presiden Hamzah Zainudin ambil alih kemudi parti.

perhimpunan
Ketua Penerangan Tun Faisal Ismail Aziz kata beliau dimaklumkan majoriti ahli akar umbi tetap dengan keputusan perhimpunan agung 2024 bahawa Muhyiddin Yassin terus memimpin sehingga PRU16. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Majoriti ahli akar umbi memberi sokongan penuh kepada Presiden Muhyiddin Yassin untuk memimpin sehingga PRU16, kata ketua penerangan Bersatu.

Tun Faisal Ismail Aziz berkata sokongan itu selaras keputusan yang dibuat dalam perhimpunan agung Bersatu tahun lalu.

Beliau memaklumkan perkara ini selepas persidangan tahunan Bersatu Port Dickson sebulat suara mengusulkan Timbalan Presiden Hamzah Zainudin mengambil alih kemudi parti daripada Muhyiddin, semalam.

Tun Faisal mengingatkan bahawa terdapat 202 bahagian Bersatu di seluruh negara.

“Setakat ini, daripada apa yang dimaklumkan secara tidak rasmi oleh bahagian-bahagian di seluruh negara, majoriti ahli akar umbi menyokong penuh kepimpinan Muhyiddin seperti yang diputuskan dalam PAT 2024 agar Muhyiddin terus memimpin parti sehingga PRU16,” katanya kepada FMT.

Dalam pada itu, Tun Faisal memaklumkan ibu pejabat Bersatu dalam proses mengumpul semua usul daripada setiap bahagian, yang akan diteliti secara menyeluruh.

“Fokus Bersatu adalah untuk mendesak Anwar Ibrahim meletak jawatan dan memperkukuhkan parti ke arah pilihan raya. Itu menjadi keutamaan ketika ini,” katanya.

Usul yang diluluskan Bersatu Port Dickson itu mencadangkan Hamzah sebagai ‘pemimpin barisan utama’, dan Naib Presiden Radzi Jidin untuk memimpin pengurusan parti.

Usul itu tidak secara langsung mencadangkan Hamzah menduduki kerusi presiden.

Timbalan Ketua Bersatu Port Dickson, Akkil Aizat Othman, memberitahu FMT bahawa usul itu bukan bertujuan menolak kepimpinan Muhyiddin.

Muhyiddin dan Hamzah masing-masing tidak dicabar dalam pemilihan Oktober. Hal ehwal pentadbiran parti ketika ini diurus oleh Setiausaha Agung Azmin Ali.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.