Ibu bapa mengaku tak salah aniaya anak OKU sampai mati

Ibu bapa mengaku tak salah aniaya anak OKU sampai mati

Kematian melibatkan kanak-kanak perempuan sembilan tahun.

mahkamah
Suami isteri warga asing itu minta dibicara atas tuduhan aniaya anak perempuan OKU di Mahkamah Sesyen Melaka. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Suami isteri warga asing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Melaka kerana menganiaya anak perempuan orang kurang upaya (OKU) berusia sembilan tahun sehingga maut, sejak April hingga Jun lalu.

Tertuduh, Manuel Pangawat, 36, dan Easta Masa Pengala, 40, berasal dari Indonesia membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh secara bersama sebagai orang mempunyai pemeliharaan telah menganiayanya mangsa yang mengalami palsi serebrum sehingga mengalami kecederaan fizikal.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Jalan Kota Laksamana 1/5, Taman Kota Laksamana dalam daerah Melaka Tengah, antara penghujung April hingga 23 Jun 2025.

Sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara sehingga 20 tahun atau denda tidak melebihi RM50,000 atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31 (1) akta sama.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nazrin Ali Rahim tidak menawarkan jaminan kerana kes itu melibatkan kematian, selain kanak-kanak itu ialah anak kandung tertuduh wanita hasil perkahwinan terdahulu.

Katanya, jaminan RM50,000 dicadangkan kepada setiap tertuduh berserta syarat tambahan sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicara, lapor Utusan Malaysia.

Manuel yang tidak diwakili peguam merayu ikat jamin dengan alasan perlu bekerja bagi melangsaikan hutang, manakala Easta memberitahu mayat anaknya belum dikebumikan dan masih berada di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka.

Mahkamah membenarkan ikat jamin Manuel RM15,000, manakala isterinya RM20,000 dan menetapkan 4 Ogos ini untuk serahan laporan bedah siasat, laporan kimia serta lantikan peguam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.