
Zahid yang juga timbalan perdana menteri berkata, Umno akan terus menggunakan lambang dacing yang sinonim dengan BN pada pilihan raya akan datang tanpa mengetepikan rakan-rakan komponen lain, termasuk MIC, MCA, Parti Bersatu Rakyat Sabah serta Pakatan Harapan (PH).
Beliau turut menafikan kekalahan Umno pada beberapa PRK sebelum ini akibat kerjasama parti itu dengan BN dan PH, lapor Bernama.
“Desakan supaya Umno bertanding secara solo bukan perkara baharu. Ia turut disuarakan semalam ketika saya berada di Johor, sama seperti yang dilaungkan di Kedah.
“Terdapat resolusi daripada beberapa bahagian yang seolah-olah menyalahkan kehadiran rakan-rakan gabungan dalam BN dan PH sebagai punca kekalahan kita.
“Tetapi hakikatnya, Umno tidak pernah bertanding secara bersendirian sejak ditubuhkan,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Lumut, yang turut dihadiri Ketua Umno Perak Saarani Mohamad dan Ketua Umno Lumut Zambry Abd Kadir.
Semalam, Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki turut menegaskan bahawa parti itu tidak akan bertanding secara solo pada PRU16 memandangkan sejarah Umno menunjukkan kerjasama politik sebagai kekuatan utama dalam landskap politik negara yang sentiasa dinamik.