
Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Fadil Marsus, berkata suspek berusia 34 tahun ditembak mati dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis di Bandar Puteri Jaya, pada 7.50 malam tadi.
“Ini merupakan satu operasi khas yang dilaksanakan oleh polis Bukit Aman dengan beberapa kontinjen negeri melibatkan semua jabatan diketuai JSJ.
“Apa yang berlaku hari ini, seorang lelaki dianggap sebagai ahli kumpulan yang terlibat dalam jenayah samun bersenjata api di beberapa negeri telah kita jumpai dan usaha untuk menangkapnya dijalankan serta berlaku halangan dan kejadian tembak-menembak sehingga menyebabkan penjenayah ditumpaskan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian malam tadi.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan terhadap suspek, polis menemukan sepucuk pistol dan beberapa barangan lain.
Fadil berkata, suspek mempunyai lebih 30 rekod jenayah dipercayai terlibat dengan kumpulan penjenayah aktif melakukan samun kedai emas sejak 2022 melibatkan kerugian hampir RM6 juta.
Beliau berkata, polis percaya suspek turut disyaki terlibat dalam banyak lagi kes samun bersenjata api lain melibatkan kilang, premis perniagaan dan kedai emas di beberapa negeri.
Katanya, polis mengesyaki suspek ialah ahli kumpulan penjenayah terdiri belasan orang yang aktif melakukan pelbagai jenayah termasuk samun, gengterisme dan pengedaran dadah di beberapa negeri.
“Setakat risikan yang dilakukan, kita positif suspek ini juga terlibat dalam tiga kes samun terbaru di Melaka, Negeri Sembilan dan Perak,” katanya memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.
Fadil berkata, polis akan terus bertindak agresif untuk menahan semua penjenayah disyaki terlibat jenayah kekerasan, terutama melibatkan senjata api.
Pagi semalam, polis menembak mati dua lelaki disyaki penjenayah dalam kejadian berbalas tembakan di susur Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) berdekatan Bandar Darul Aman di Jitra.