Makan apa saja RM7 di gerai Sungai Buloh

Makan apa saja RM7 di gerai Sungai Buloh

Pemilik Hanie's Cafe perkenal juadah sepinggan RM7 selepas melihat tekanan kewangan dihadapi masyarakat susulan PKP pada 2021.

Hanie's Cafe
Hanie’s Cafe memperkenalkan hidangan RM7 sepinggan dan pelanggan bebas ambil sebanyak mana lauk.
SUNGAI BULOH:
Harga sepinggan nasi bersama sebanyak mana lauk berharga RM7 barangkali sukar didapati, namun Hanie’s Cafe ada kisah sebaliknya yang boleh dianggap rahmat bagi golongan bergelut dengan tekanan ekonomi ketika ini.

Beroperasi sejak 15 tahun lalu di Sungai Buloh, gerai itu membawa konsep ‘ambil banyak mana harga tetap sama’ sekali gus memberikan manfaat kepada rakyat kurang berkemampuan khususnya B40.

Darish Hanie
Darish Hanie.

Pemiliknya, Darish Hanie, 47, berkata konsep sepinggan RM7 bermula selepas perintah kawalan pergerakan (PKP) pada 2021, dan ketika itu dia juga berdepan kesempitan hidup.

“Lepas PKP, hidup kami sangat susah, tetapi saya fikir, kalau saya sendiri susah orang lain mungkin lebih susah lagi. Dari situ saya terdetik, bagaimana nak selamatkan perniagaan pada masa sama boleh bantu orang,” katanya kepada FMT.

Hanie's Cafe sepinggan RM7
Pelanggan memenuhi gerai seawal dibuka pada 11 pagi.

Berasal dari Gua Musang, Kelantan, Darish yang datang dari keluarga kurang berkemampuan berkata, dia amat memahami ‘nikmat makan’ walaupun dengan hidangan sederhana.

Katanya, sejak kecil dia terbiasa hidup berjimat dan berkongsi lauk-pauk dengan adik-beradik yang ramai, dan kini amalan itu diterapkan dalam perniagaannya.

“Saya mahu semua orang dapat makan kenyang tanpa takut dengan harga. Di sini, pelanggan boleh ambil seberapa banyak nasi dan lauk yang muat dalam pinggan tanpa had, tanpa caj tambahan,” katanya yang mengusahakan perniagaan itu bersama keluarga.

Hanie's Cafe sepinggan RM7
Pelanggan akan dikenakan bayaran dua kali ganda jika tidak menghabiskan makanan diambil.

Ibu dua anak itu berkata, walaupun bayaran hanya RM7, pelanggan akan dikenakan ‘penalti’ dua kali ganda jika makanan diambil tidak dihabiskan sebagai usaha mendidik supaya tidak membazir.

Puas bantu golongan kurang mampu

Ditanya mengenai keuntungan, Darish memaklumkan sentiasa menyemak harga bahan mentah dan memasak mengikut kemampuan, misalnya jika lauk seperti ayam atau ikan mahal ia akan diganti dengan sayur atau hidangan lebih murah.

“Allah anugerahkan saya boleh masak, jadi saya pelbagaikan resipi walau guna bahan sama supaya pelanggan ada pilihan,” katanya.

Walaupun menjual makanan dengan harga rendah, Darish masih mampu meneruskan perniagaan kerana memperoleh kepuasan apabila dapat membantu golongan kurang berkemampuan.

“Pernah ada pelanggan bawa lima anak, ambil satu pinggan kongsi sama-sama. Lepas makan mereka ucap terima kasih. Saya tak mampu tolong dari segi duit, tapi saya ada tenaga untuk masak,” katanya.

Yatimin
Yatimin.

Sementara itu, Tinjauan FMT mendapati Hanie’s Cafe dipenuhi pelanggan seawal dibuka pada 11 pagi dan tidak putus menerima kunjungan hingga 2 petang, malah adakala hingga gerai ditutup pada 6 petang.

Pelanggan, Yatimin, 41, berkata harga RM7 sangat berbaloi terutama bagi mereka yang berkeluarga dan berpendapatan rendah.

Shaiful Hilmi Sha’ari
Shaiful Hilmi Sha’ari.

“Kalau tempat lain, saya rasa makan untuk saya, isteri dan dua anak ‘tak lari’ RM30 ke RM40. Jadi, untuk kami B40 ini sangat membantu,” kata kakitangan hospital swasta.

Pesara, Shaiful Hilmi Sha’ari, 54, berkata usaha seperti itu wajar dicontohi peniaga lain walaupun tidak dapat dilakukan setiap hari.

“Kalau boleh buat seminggu sekali atau sebulan sekali pun sudah cukup sebagai amal jariah,” katanya dari Klang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.