6 beranak dikhuatiri hilang

6 beranak dikhuatiri hilang

Mohd Azim Ezzat Ishak dan Nurul Hidayah Khalijah Razman Effendy bersama empat anak gagal dihubungi sejak Sabtu.

Laporan polis telah dibuat berikutan Mohd Azim Ezzat Ishak bersama anak isterinya gagal dikesan. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Enam beranak termasuk seorang bayi berusia enam bulan dikhuatiri hilang selepas gagal dihubungi oleh ahli keluarga mereka sejak Sabtu lepas.

Kehilangan Mohd Azim Ezzat Ishak, 32, isterinya Nurul Hidayah Khalijah Razman Effendy, 31, serta empat anak mereka berusia enam bulan hingga sembilan tahun itu disedari apabila tidak pulang ke rumah di Jerlun selepas bermalam di rumah ahli keluarga yang lain di Taman Aman, Jitra.

Adik kepada Mohd Azim Ezzat, Nur Adliah Shuhada, 20an, memaklumkan abangnya sekeluarga datang bermalam di rumahnya seperti kebiasaan pada Jumaat.

“Saya sangka mereka dah pulang ke Jerlun sebab abang yang bekerja sebagai pengawal keselamatan biasanya akan keluar awal pagi dan kakak ipar pula berniaga.

“Apabila ibu mentua abang hubungi saya dan beritahu mereka tak sampai ke rumah, saya mula bimbang dan cuba hubungi mereka tapi gagal,” katanya, lapor Bernama.

Nur Adliah berkata, beliau kemudian mendapat maklumat sebuah Proton Saga ditemukan di dalam Sungai Korok di Jitra, tetapi nombor pendaftaran kenderaan itu tidak sama dengan kereta abangnya.

Sehubungan itu, katanya, satu laporan polis dibuat di Balai Polis Jitra berhubung kehilangan keluarga abangnya itu.

Beliau turut membuat hebahan mengenai kehilangan mereka di Facebook, namun menurutnya, setakat 10.30 malam ini, keluarga itu masih gagal dikesan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Kubang Pasu Mohd Radzi Abdul Rahim mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan pasangan suami isteri itu bersama empat anak mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.