
Kedua-dua mangsa berusia 19 tahun, Roquell Brain Roland dan Slyvester Ribai Tuah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden pada 2.30 pagi.
Katanya, dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lopeng dan Lutong digerakkan selepas menerima panggilan dan tiba di lokasi kejadian 13km dari balai pada 2.44 pagi.
“Setibanya di lokasi, komander operasi melaporkan sebuah Proton Saga lama didapati melanggar sebatang pokok.
“Dua remaja lelaki ditemukan tersepit dan tidak sedarkan diri di dalam kenderaan terbabit,” katanya menurut Harian Metro.
Katanya, anggota bomba segera menjalankan kerja menyelamat dan berjaya mengeluarkan kedua-dua mangsa.
“Bagaimanapun, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan. Mayat kedua-dua mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.