Polis buru lelaki Pakistan disyaki liwat, cabul budak

Polis buru lelaki Pakistan disyaki liwat, cabul budak

Polis Shah Alam terima empat laporan babit mangsa berusia antara 9 hingga 19 tahun sejak April.

Mohd Iqbal Ibrahim
Ketua Polis Shah Alam Mohd Iqbal Ibrahim berkata, kesemua insiden dipercayai melibatkan suspek sama berdasarkan modus operandi sama. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Polis sedang memburu seorang lelaki warga Pakistan yang disyaki meliwat dan mencabul tiga kanak-kanak serta seorang remaja lelaki di sekitar Seksyen 27 dan Seksyen 28.

Ketua Polis Shah Alam Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima empat laporan membabitkan mangsa berusia sembilan, 13, 14, dan 19 tahun sejak April.

Katanya, kesemua insiden dipercayai melibatkan suspek yang sama berdasarkan modus operandi yang pada mulanya meminta pertolongan daripada mangsa.

Mangsa kemudian dibawa ke kawasan sunyi sebelum diliwat atau dicabul, tambahnya.

“Empat kertas siasatan dibuka dengan dua disiasat di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 manakala dua lagi di bawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan,” katanya, lapor Bernama.

Mohd Iqbal berkata, suspek berusia 25 tahun itu tidak bekerja, dengan alamat terakhirnya di sebuah flat di Seksyen 27, Shah Alam.

Beliau menggesa mana-mana individu yang mempunyai maklumat berhubung kejadian agar menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah Siti Mahanira Mahat di talian 017-6444895.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.