
Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Dr Jamalludin Ab Rahman, berkata saringan HIV perlu diperluas dan dipermudahkan dengan pendekatan mesra belia serta tanpa stigma.
“Pendekatan wajibkan (ujian HIV) boleh dikaji, tetapi dengan penuh berhati-hati.
“Rawatan kepada mereka dijangkiti perlu disediakan dengan belas kasihan, namun kita tidak boleh menjadikan ia sebagai alasan untuk membenarkan tingkah laku berisiko berterusan,” katanya kepada FMT.

Dalam pada itu, Jamalludin berkata kerajaan perlu menggerakkan semula Program Sihat Tanpa Aids untuk Remaja (Prostar) 2.0 dengan serius dan berskala besar melalui strategi digital dan pelaporan impak yang telus.
Katanya, program disifatkan ‘berjaya melibatkan belia secara langsung’ itu memerlukan kerjasama erat Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Pendidikan, dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Prostar 2.0 adalah kesinambungan daripada program diperkenal KKM pada 1995, bertujuan meningkatkan kesedaran, mencegah risiko jangkitan HIV/Aids serta mempromosikan gaya hidup sihat dalam kalangan remaja.
Beliau berpandangan, dana tambahan RM1 juta daripada KKM untuk program pencegahan HIV/Aids ‘belum cukup’ jika tidak disertai pendidikan nilai yang konsisten.
Sementara itu, pakar perubatan kesihatan awam Dr Sharifa Ezat Wan Puteh dari Universiti Kebangsaan Malaysia pula berkata tidak kos efektif jika dibuat ujian saringan HIV ‘beramai-ramai’.

“Saringan tersasar kepada mereka yang berisiko tinggi adalah lebih sesuai. Isunya, sukar mengesan golongan ini kerana mereka tidak mengenalkan diri dan tidak mahu distigmakan.
“Jika golongan ini dapat dikesan awal dan jika berisiko tinggi boleh diberikan ubat HIV sesuai sebagai profilaksis,” katanya.
Pada Selasa, Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni dilaporkan berkata seramai 222 pelajar IPT disahkan menghidap HIV tahun lalu, iaitu seawal usia 18 hingga 19 tahun.
Katanya, secara keseluruhan sebanyak 1,091 jangkitan HIV direkodkan dalam kalangan pelajar IPT bagi tempoh lima tahun dari 2020 hingga 2024.
Namun, beliau mengakui wujud kekangan dari segi akses remaja bawah umur kepada ujian kendiri HIV dan rawatan susulan kerana tiada peruntukan undang-undang membenarkan mereka menjalani saringan tanpa kebenaran ibu bapa.