
Perkara itu dinyatakan Ketuanya Razali Idris sempena persidangan tahunan Bersatu bahagian yang berlangsung di seluruh negara bermula semalam hingga esok.
“Perwakilan Bersatu Marang sebulat suara calonkan TSMY sebagai poster boy PRU16. Keputusan sebulat suara itu dicapai dalam mesyuarat bahagian Bersatu malam semalam,” katanya yang juga ketua Bersatu Terengganu ketika dihubungi FMT.
Razali memaklumkan, Bersatu Terengganu mempunyai lapan bahagian daripada keseluruhan 202 di seluruh negara.

November lalu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Wan Saiful Wan Jan, berkata Muhyiddin harus kekal sebagai ‘poster boy’ untuk PN bagi menghadapi PRU16 susulan kemenangan sebagai presiden parti pada pemilihan awal bulan itu.
Katanya, perkara itu amat jelas dan tidak perlu diperdebatkan lagi, di sebalik ‘cakap-cakap’ supaya calon PN bagi jawatan tersebut datang daripada PAS kerana mempunyai jumlah wakil rakyat teramai dalam Parlimen.
Sekutunya iaitu PAS menerusi Mursyidul Am Hashim Jasin menegaskan pemilihan ketua PN yang sekali gus diangkat calon perdana menteri komponen itu perlu dirunding untuk menilai semua aspek.
Hashim berkata, PAS bukan mahu berebut jawatan tetapi perbincangan membabitkan semua parti komponen perlu menjadi asas dalam membuat keputusan tidak hanya pihak tertentu sahaja.
Sebelum ini, Presiden Gerakan Dominic Lau juga mempertahankan Muhyiddin sebagai pengerusi PN dan ‘poster boy’ gabungan itu menuju PRU16.
Pada pemilihan Bersatu bagi penggal 2024-2027, perdana menteri kelapan itu menang tanpa bertanding jawatan presiden. Terdahulu, pada perasmian Perhimpunan Agung Tahunan 23 Nov 2023 Muhyiddin mengumumkan tidak akan mempertahankan kerusi terbabit.
Namun, beliau membuat ‘pusingan U’ dua hari kemudian selepas diyakinkan isterinya Noorainee Abdul Rahman untuk tidak mengecewakan ahli yang memerlukannya.
Penganalisis politik sebelum ini berpendapat jawatan presiden Bersatu cukup penting kerana bakal mengetuai PN sekali gus diangkat calon perdana menteri gabungan itu.