
Portal baharu dikenali sebagai Telus Malaysia yang dilancarkan secara rasmi sempena sambutan ulang tahun ke-21 Vannakam Malaysia baru-baru ini, telah beroperasi sejak setahun lalu yang dikemudi oleh pasukan editorial berpengalaman.
Pelancarannya disempurnakan oleh Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) M Kulasegaran, Ahli Parlimen Klang Ganabatirau Veraman, Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer dan beberapa pemimpin MIC.
Sempena majlis itu juga, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil sempat menzahirkan ucapan tahniah menerusi mesej khasnya kepada Vanakkam Malaysia atas perjalanan luar biasa dalam dunia kewartawanan selama lebih dua dekad.
Menurut beliau, portal terbabit bukan sahaja menyampaikan maklumat kepada komuniti India, malah memainkan peranan penting sebagai penghubung antara rakyat dan kerajaan, mengangkat suara akar umbi serta menyemai semangat perpaduan nasional.
Biarpun baru setahun beroperasi, Telus Malaysia berjaya menarik perhatian pembaca dengan laporan yang inklusif, berani dan relevan, termasuk adaptasi teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam operasi bilik beritanya.
Setakat ini, ia berjaya meraih lebih 350,000 pengikut di platform digital dan media sosial.
Dalam pada itu, sambutan ulang tahun terbabit turut memberi pengiktirafan khas kepada empat individu luar biasa menerusi Anugerah Penghargaan Vanakkam Malaysia yang diraikan atas kisah perjuangan dan ketabahan luar biasa mereka.
Antara yang menerima penghargaan itu ialah Lavaniyah, yang menggerakkan perubahan bagi kategori Menukar Derita Menjadi Inspirasi dan Jegan Perumal bagi kategori Mencipta Peluang di Sebalik Cabaran atas keberaniannya menghadapi ujian hidup.
Manakala Mageshwaran pula diberi anugerah Bangkit Dari Kelam Silam, atas transformasi luar biasa dalam hidupnya dan Ruben, seorang usahawan bakeri cacat penglihatan diberi penghargaan menerusi kategori Hilang Penglihatan, Temui Kekuatan.