Tommy Thomas menang rayuan singkir hakim kes saman fitnah

Tommy Thomas menang rayuan singkir hakim kes saman fitnah

Mahkamah Rayuan berkata ia mendapati wujud risiko sebenar berlaku berat sebelah di pihak hakim perbicaraan, walaupun ia mungkin tidak disengajakan.

Tommy Thomas
Bekas peguam negara Tommy Thomas menafikan sebarang salah guna kuasa dan berkata keputusan pendakwaan dibuat hanya selepas menyemak kertas siasatan daripada agensi berkaitan. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan bekas peguam negara, Tommy Thomas untuk seorang hakim Mahkamah Tinggi menarik diri daripada mendengar saman fitnah difailkan bekas menteri, Shahrir Samad.

Hakim Faizah Jamaludin berkata, panel mahkamah atasan dalam kedudukan lebih baik untuk menilai sama ada wujud sebarang unsur berat sebelah di pihak hakim perbicaraan, Hakim Roz Mawar Rozain, kerana mereka tidak terbabit secara langsung dalam kes itu.

“Kami mendapati wujud risiko sebenar berlaku berat sebelah di pihak hakim perbicaraan, walaupun ia mungkin tidak disengajakan.

“Kami memerintahkan hakim itu menarik diri daripada mendengar perbicaraan dan semua prosiding berkaitan,” kata Faizah ketika membaca penghakiman sebulat suara itu.

Panel itu turut dianggotai Hakim Supang Lian dan Ahmad Fairuz Zainol Abidin.

Mahkamah turut mengarahkan Shahrir membayar kos RM30,000 kepada Thomas.

Shahrir, bekas Ahli Parlimen Johor Bahru, memfailkan saman itu pada Disember 2022, menamakan Thomas, bekas ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Koya, SPRM dan kerajaan sebagai defendan.

Saman itu berkaitan sekeping cek RM1 juta daripada bekas perdana menteri, Najib Razak dikatakan untuk pemulihan projek perumahan di Larkin, Johor.

Thomas, yang juga peguam negara dari Jun 2018 hingga Februari 2020, menafikan sebarang penyalahgunaan kuasa dan berkata keputusan pendakwaan dibuat hanya selepas menyemak kertas siasatan daripada agensi berkaitan.

Hari ini, Faizah berkata, hakim perbicaraan menentukan terlebih dahulu tahap kepentingan bukti sebelum perbicaraan saman sivil difailkan Shahrir bermula.

Menurutnya, hakim terbabit meringkaskan kandungan memoir Thomas “My Story: Justice in the Wilderness” dengan pendapat sendiri, bukannya memetik semula hujahan Shahrir.

Katanya, tidak benar Thomas melobi jawatan peguam negara dan pendakwa raya.

Beliau berkata, kenyataan Roz Mawar bahawa Thomas memainkan peranan menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional sebelum dilantik peguam negara pada Jun 2018 juga tidak benar.

Tambahnya, peguam Alan Adrian Gomez yang mewakili Thomas berhujah, BN hanya tewas pada PRU14.

Faizah berkata, Thomas tidak pernah menyatakan dalam memoirnya beliau menekan SPRM untuk menyiasat Shahrir.

“Beliau hanya menggesa siasatan lebih cepat dan teliti ke atas Felda, Felcra serta Mara oleh SPRM.”

Faizah berkata, dakwaan berhubung pendakwaan berniat jahat tiada dalam memoir itu, tetapi hanya tuduhan oleh Shahrir.

Gomez memberitahu wartawan, pihak-pihak akan menghadap hakim perbicaraan pada 11 Ogos ini.

Peguam Firoz Hussein Ahmad Jamaludin berkata, beliau akan mendapatkan arahan daripada Shahrir sama ada mahu memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.