Komposer ditahan pukul rakan serumah kerap bertengkar akibat bunyi bising

Komposer ditahan pukul rakan serumah kerap bertengkar akibat bunyi bising

Polis berkata bunyi bising alat muzik dimainkan suspek menyebabkan mangsa tidak dapat berehat walaupun ditegur berulang kali.

handcuff
Ketua Polis Ampang Jaya Mohd Azam Ismail berkata suspek ditahan di Pandan Indah kelmarin dan dibebaskan dengan jaminan polis selepas dirakam percakapan. (Gambar Rawpixel)
PETALING JAYA:
Seorang komposer yang juga pemain gitar ditahan kerana memukul rakan serumah didakwa sering berselisih faham dan bertengkar dengannya akibat bunyi bising.

Ketua Polis Ampang Jaya, Mohd Azam Ismail, berkata bunyi bising alat muzik dimainkan suspek menyebabkan mangsa tidak dapat berehat walaupun ditegur berulang kali.

Menurutnya, mangsa yang juga tukang masak berusia 52 tahun dalam laporan polis 30 Jun lalu mendakwa dia terjaga daripada tidur pada 6.30 pagi akibat hempasan pintu bilik air.

Azam berkata, akibat tidak berpuas hati, mangsa keluar dari biliknya dan menghempas pintu bilik air itu semula.

“Tidak lama kemudian, jiran sebelah bilik pengadu, iaitu suspek keluar membawa batang besi dan terus memukulnya,” katanya dalam kenyataan sambil menambah mangsa cedera di tangan.

“Berlaku pertengkaran mulut lalu suspek mengugut akan membawa kawannya untuk memukul mangsa.”

Beliau berkata, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Ampang Jaya menahan suspek 46 tahun di Pandan Indah pada 4.45 petang kelmarin.

Menurutnya, polis merampas sebatang pemegang gitar berwarna hitam dan suspek dibebaskan dengan jaminan polis selepas dirakam percakapan.

Katanya, suspek tiada rekod jenayah lampau dan hasil ujian air kencing juga negatif dadah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 324 dan 506 Kanun Keseksaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.