KKM tarik balik jemputan dengan nota ‘tiada temuramah’ kepada wartawan

KKM tarik balik jemputan dengan nota ‘tiada temuramah’ kepada wartawan

Wartawan di Putrajaya mengkritik tindakan tidak membenarkan mereka bertanya soalan tambahan atau penjelasan berkait acara yang berlangsung esok.

Dr Dzulkefly Ahmad
Wartawan membantah selepas diberitahu tiada sidang media atau temuramah dalam satu acara yang dijadual dihadiri Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad di Putrajaya, esok.
PETALING JAYA:
Kementerian Kesihatan (KKM) menarik balik surat jemputan dengan nota mengehadkan akses media pada satu acara esok yang melibatkan Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad selepas dikritik wartawan.

Dalam surat jemputan kepada media untuk membuat liputan pelancaran Ekspo Makanan Selamat di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya itu mengandungi nota bahawa acara itu tiada sidang media atau temuramah.

Menurut nota yang diletakkan di bawah surat jemputan itu, tindakan itu supaya liputan berita dapat menumpukan kepada acara utama dan kenyataan media yang dikeluarkan.

Selepas dikritik Kelab Media Putrajaya sebagai ‘menyulitkan kerja liputan’, seorang jurucakap KKM kemudiannya mengeluarkan surat jemputan baharu tanpa nota tersebut.

Dalam satu mesej dalam kumpulan WhatsApp untuk media, Setiausaha Akhbar Dzulkefly, Nurbani Shuhada Hasninlayali memohon maaf atas ‘salah faham’ dan meminta jemput awal itu diabaikan.

Terdahulu, Kelab Media Putrajaya dalam satu kenyataan berkata tindakan menyekat ruang wartawan untuk mendapatkan penjelasan atau soalan susulan dilihat sebagai cubaan menutup ruang akauntabiliti KKM kepada rakyat.

“Langkah sebegini tidak pernah diamalkan sebelum ini dan tindakan tersebut wajar dilihat sebagai satu bentuk sekatan tidak langsung kepada media.

“Dalam keadaan rakyat memerlukan maklumat yang telus dan tepat, terutama berkaitan dasar dan isu kesihatan awam, pendekatan ini amat mengecewakan dan tidak mencerminkan semangat keterbukaan yang sepatutnya dipraktikkan oleh sebuah kementerian yang berkhidmat untuk rakyat,” kata kenyataan itu.

Pada Mei lalu, Kelab Media Putrajaya menuduh bekas setiausaha akhbar Dzulkefly bertindak tidak profesional semasa satu sidang media. Kelab itu berkata terdapat aduan wartawan yang meminta maklumat lanjut mengenai satu tinjauan KKM telah diperli.

Setiausaha akhbar itu juga telah mencelah apabila seorang wartawan mengemukakan soalan kepada Dzulkefly, dan turut menjawab bagi pihak menteri. Beliau kemudiannya memohon maaf.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.