
Tertuduh mengaku berumur 54 tahun mengaku salah di hadapan Hakim Nurul Mardhiah Mohammed Redza.
Mahkamah turut memerintahkan wanita itu dipenjara bermula dari tarikh dia ditangkap pada 28 Jun lalu.
Selain itu, tertuduh dikenakan perintah bon berkelakuan baik dua tahun selain perlu melakukan khidmat masyarakat 40 jam dalam tempoh empat bulan sebaik selesai menjalani hukuman penjara.
Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai penjaga kanak-kanak perempuan itu didakwa melakukan penganiayaan terhadap anak angkatnya dengan cara memukul menggunakan kayu dan lesung batu serta mengelar dengan pisau hingga menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Taman Bendahara, Kuala Selangor, pada Jun lalu, lapor Berita Harian.
Wanita itu didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Nor Hakimi Mohamad Rosedin memohon mahkamah menjatuhi hukuman setimpal berbentuk pencegahan sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat, mengambil kira faktor kepentingan awam dan kekerapan kes dera kanak-kanak.
Peguam Khairul Hazwan Rashid Mohd Redduan dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) mewakili tertuduh, memohon hukuman penjara ringan bermula dari tarikh tangkap dengan alasan anak guamnya tidak mampu membayar denda kerana tiada pendapatan selain suaminya kini dipenjara akibat kes dadah.