Tak praktikal perkenalkan semula GST, kata Amir Hamzah

Tak praktikal perkenalkan semula GST, kata Amir Hamzah

Menteri kewangan II berkata kerajaan tidak pernah mengatakan GST bukan sistem yang baik, cuma ia tidak sesuai buat masa sekarang.

Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan berkata pengenalan semula GST mengambil masa sekurang-kurangnya dua tahun dan ia mempunyai kesan ekonomi lebih meluas. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan berkata kerajaan tidak bercadang memperkenalkan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST) buat masa ini, kerana ia ‘tidak praktikal’ dalam keadaan ekonomi semasa.

Beliau berkata perniagaan sedia ada dan baharu telah ‘beralih’ kepada struktur cukai alternatif sejak GST berkadar sifar pada 2018.

Akibat daripada itu, pengenalan semula GST sepenuhnya mungkin mengambil masa sekurang-kurangnya dua tahun, tambahnya.

Bercakap sebagai tetamu di audio siar Keluar Sekejap, Amir berkata kerajaan tidak pernah mempertikaikan sistem GST.

Bagaimanapun, beliau berkata Putrajaya berpendapat ia tidak boleh diperkenalkan semula kerana ia ‘tidak sesuai buat masa ini’.

“GST meluas. Ia akan memberi kesan kepada semua orang,” katanya.

“Syarikat suka GST kerana mekanisme cukai input-output: apa yang mereka kenakan, mereka boleh tuntut balik. Tetapi, akhirnya, beban itu ditanggung rakyat.”

Amir berkata kerajaan berpandangan bahawa reformasi cukai mesti pragmatik dan serasi dengan struktur ekonomi semasa Malaysia.

“Apabila kita mengenakan cukai, kita perlu bertanya: adakah hasil yang kita perolehi berbaloi dengan usaha?” tambahnya.

Hos bersama audio siar Khairy Jamaluddin berkata penjelasan Amir boleh diterima, dengan menyatakan bahawa menteri tidak berkata bahawa cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sememangnya lebih baik daripada GST.

Bulan lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata Putrajaya akan mempertimbangkan untuk memperkenalkan semula cukai itu apabila ekonomi bertambah baik dan gaji minimum mencecah RM4,000 atau lebih.

Buat masa ini, kerajaan telah memperluaskan SST untuk meliputi lebih banyak barangan, dengan cukai 5% hingga 10% ke atas barangan bukan keperluan dan cukai perkhidmatan tambahan ke atas perkara seperti sewa, pembinaan, perkhidmatan kewangan dan penjagaan kesihatan dan pendidikan swasta.

Mengenai pengagihan bantuan kerajaan, Amir membuat perbandingan antara skim bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kerajaan perpaduan dan Bantuan Rakyat 1Malaysia atau BR1M pada zaman Najib Razak.

Beliau berkata BR1M paling tinggi mencecah RM1,200, manakala jumlah maksimum bantuan tunai yang boleh diterima oleh isi rumah di bawah STR dan SARA ialah RM4,600.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.