
Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Hamidi Adam, berkata aduan itu juga boleh disalurkan menerusi e-mel, tetapi perlu disertakan bukti gambar atau video dan butiran perjalanan bas bagi memudahkan siasatan.
Beliau berkata, menjadi tanggungjawab pemandu bas mengingatkan penumpang memakai tali pinggang keledar sebelum memulakan perjalanan.
“Ia bertujuan meningkatkan tahap keselamatan pengangkutan awam dan mengurangkan risiko kecederaan serius atau kematian dalam kemalangan melibatkan bas ekspres,” katanya semasa operasi khas pemakaian tali pinggang keledar bas ekspres dan persiaran di Plaza Tol Gombak malam tadi.
Mengulas operasi itu, beliau berkata, 23 penumpang bas ekspres, terdiri daripada 20 warga tempatan dan tiga warga asing, dikompaun kerana tidak memakai tali pinggang keledar.
Menurutnya, kebanyakan penumpang dikompaun memberi alasan tidak tahu keperluan memakai tali pinggang keledar dalam bas.
Katanya, JPJ Kuala Lumpur turut mengeluarkan dua notis terhadap pemandu bas ekspres kerana pintu kecemasan tidak berfungsi dan memandu di lorong kanan secara berterusan.
“Sebanyak 41 bas ekspres dan tiga bas persiaran diperiksa dalam operasi bermula 8 malam hingga 12 tengah malam.”
Beliau berkata, aspek keselamatan pengangkutan awam ialah tanggungjawab bersama dan pematuhan undang-undang bukan sekadar tuntutan peraturan, tetapi komitmen terhadap nilai kehidupan.
“Semua pihak sama ada penumpang, pengusaha dan penguat kuasa perlu berganding bahu mewujudkan sistem pengangkutan selamat dan berdisiplin.”
Bermula 1 Julai lalu, JPJ melaksanakan penguatkuasaan penuh terhadap pemakaian tali pinggang keledar bagi pemandu serta semua penumpang bas ekspres dan persiaran selaras peruntukan bawah Kaedah-kaedah Kenderaan Motor (Tali Pinggang Keledar dan Sistem Kekangan Kanak-kanak) 1978 Pindaan (2008).