Rafizi bidas pemimpin PN, setuju pembangunan bersama Ambalat

Rafizi bidas pemimpin PN, setuju pembangunan bersama Ambalat

Bekas menteri Rafizi Ramli berkata potensi besar minyak di perairan itu dapat dimanfaatkan untuk manfaat rakyat.

Rafizi Ramli
Rafizi Ramli berkata rancangan pembangunan bersama Ambalat untuk melonjakkan potesinya antara perkara dibawanya semasa dalam Kabinet.
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli membidas pemimpin Perikatan Nasional (PN) yang menggambarkan kedaulatan negara tergadai, susulan laporan pembangunan bersama Ambalat.

Bekas menteri ekonomi mendakwa pemimpin PN seperti Muhyiddin Yassin, Hamzah Zainudin dan Ahmad Fadhli Shaari cuba melambung dengan emosi isu sempadan berkaitan wilayah perairan sekitar timur Sabah.

Beliau turut bersetuju dengan pendirian Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Presiden Indonesia Prabowo Subianto untuk mempertimbangkan pembangunan bersama supaya potensi minyak di perairan itu dapat dimanfaatkan.

Menurutnya, usaha itu antara perkara dibawanya semasa dalam Kabinet yang kaedah terbabit berkesan seperti penerokaan minyak di luar pesisir Kelantan dan Thailand menerusi penubuhan Pihak Berkuasa Pembangunan Bersama Malaysia-Thailand pada 1970an.

“Wakil sama banyak, suara sama banyak. Dari situlah, kontrak eksplorasi dan pembangunan minyak dapat dijalankan, akhirnya dianugerahkan kepada Petronas dan PTTEP (syarikat minyak Thailand).

“Hari ini, sekitar 30% dari keperluan gas Semenanjung Malaysia dibekalkan dari kawasan bertindih ini.

“Jika ia tidak dibangunkan secara bersama dan tergendala sehingga kini, 30% keperluan gas Semenanjung perlu diimport dan dibayar pada harga tinggi,” katanya di aplikasi X.

Menurutnya, dalam konteks Ambalat, kerajaan persekutuan perlu berbincang secara serentak dengan Kerajaan Indonesia dan Sabah, supaya kepentingan negeri itu dapat dipelihara dan sebahagian keuntungan pergi kepada rakyatnya secara adil.

“Tetapi jika dipolitikkan dan rancangan pembangunan bersama ini tergendala, negara dan rakyat, dari Sabah sampai ke Perlis, akan terus kehilangan berbilion ringgit hasil setiap tahun, dalam keadaan hasil minyak kita semakin berkurang.

“Petronas memerlukan pembangunan bersama ini. Insya-Allah, rakyat juga akan mendapat manfaat.

“Kita boleh membangkang sesuatu, tetapi biarlah selepas kita meneliti keseluruhan merit kes itu. Jangan pakai hentam saja,” katanya.

Jumaat lalu, Bernama melaporkan Anwar dan Prabowo menyatakan komitmen kedua-dua negara untuk mempercepat kerjasama strategik dalam pelbagai bidang, termasuk pembangunan bersama di wilayah sempadan maritim Malaysia dan Indonesia di Ambalat secara damai serta saling menguntungkan.

Anwar dilaporkan berkata, kedua-dua negara harus mempertimbangkan kerjasama ekonomi termasuk di kawasan sempadan maritim yang memberi manfaat kepada rakyat.

Semalam, Hamzah berkata pembangunan bersama secara tergesa-gesa, ketika wilayah kedaulatan maritim negara dituntut negara luar boleh menjerumuskan kepentingan nasional dalam keadaan samar.

Muhyiddin pula menekankan sebarang bentuk perjanjian pembangunan bersama di wilayah yang masih menjadi pertikaian maritim seperti Ambalat hanya boleh dilaksanakan dengan syarat-syarat tegas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.