
Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Mat Zani @ Mohd Salahuddin Che Ali berkata lima lelaki dan seorang wanita warga tempatan berumur 25 hingga 39 tahun ditahan dalam operasi berkenaan.
“Menerusi serbuan pertama, JSJN menahan sebuah kereta Perodua Axia di Jalan Gajah Mati, Banggol Chica, Pasir Mas dengan seorang lelaki berusia 34 tahun diberkas. Pemeriksaan menemukan 115g pil kuda sebelum pemeriksaan susulan di rumahnya di kawasan sama turut menemui 112g pil kuda.
“Seterusnya, pemeriksaan di kandang lembu di belakang rumah suspek menemukan 20kg pil kuda yang disembunyikan dalam lambakan najis lembu,” katanya pada sidang media di IPD Pasir Mas.
Zani berkata menerusi serbuan serentak, pihaknya menahan seorang lagi lelaki bersama sebuah Toyota Hilux miliknya dan merampas 15.4kg pil kuda.
“Serbuan selanjutnya di beberapa rumah di sekitar Pasir Mas dan Tumpat berjaya menangkap tiga lagi suspek termasuk seorang wanita yang merupakan isteri kepada suspek pertama.
“Kita percaya hasil keuntungan menjual pil kuda ini digunakan untuk membuka perniagaan lain seperti restoran makanan laut di Tanah Merah, salon dan perniagaan dalam talian. Mereka mencuci duit haram itu dengan melakukan perniagaan berkenaan,” katanya.
Kejayaan itu hasil risikan JSJN Bukit Aman dengan kerjasama kontinjen Kelantan yang menjalankan intipan selama setahun bagi membanteras kegiatan sindiket yang dipercayai aktif sejak 2022.
Zani berkata pil kuda berkenaan disyaki untuk dipasarkan ke seluruh Kelantan, Lembah Klang dan Johor Bahru dengan sindiket menyasarkan pelajar dan remaja.
“Modus operandi sindiket ini adalah menjadikan kandang lembu sebagai stor penyimpanan sebelum dipasarkan ke pasaran tempatan,” katanya.
Selain pil kuda, polis turut menyita barang kemas, beg berjenama dan beberapa kereta mewah bernilai lebih RM1.1 juta.
Semua suspek direman tujuh hari hingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya.
“Ujian saringan awal air kencing mendapati kesemua suspek negatif dadah. Namun semakan rekod jenayah mendapati suspek kedua dan kelima mempunyai rekod lampau termasuk penyalahgunaan dadah.
“Polis akan terus mengekang masalah penyalahgunaan dadah terutamanya di Kelantan sebagai negeri sempadan melalui operasi berterusan untuk mengesan beberapa lagi sindiket dadah yang berada dalam radar kita,” katanya.