PN Selangor gesa Parlimen bahas laporan kebakaran Putra Heights

PN Selangor gesa Parlimen bahas laporan kebakaran Putra Heights

Timbalan Pengerusi PN negeri, Ab Halim Tamuri berkata terdapat banyak kekeliruan dalam laporan akhir kebakaran paip gas itu.

Dr Ab Halim Tamuri
Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional Selangor, Ab Halim Tamuri (tengah) bercakap dalam sidang media mengenai laporan tragedi kebakaran paip gas Putra Heights di Kampung Sungai Baru Baru, Puchong.
PUCHONG:
Perikatan Nasional (PN) Selangor menggesa Ahli Parlimen membahaskan laporan kebakaran paip gas di Putra Heights pada sesi sidang Dewan Rakyat akan datang kerana mendakwa laporan rasmi tragedi itu tidak menyeluruh.

Timbalan Pengerusi PN negeri, Ab Halim Tamuri berkata kejadian kebakaran paip gas itu melibatkan isu nasional dan memerlukan penyelesaian menyeluruh daripada kerajaan serta semua pihak berkaitan.

“Kita minta Ahli Parlimen membahaskan laporan kebakaran paip gas di Putra Heights secara teliti kerana laporan yang dikeluarkan tidak menyeluruh,” katanya dalam satu sidang media.

Ab Halim yang juga Pesuruhjaya PAS Selangor berkata, mesyuarat pimpinan PN Selangor yang berlangsung hari ini turut memutuskan untuk menghantar usul dan petisyen kepada speaker DUN negeri bagi menjawab segala persoalan yang timbul susulan laporan akhir tragedi.

Katanya, terdapat banyak kekeliruan dalam laporan akhir tragedi itu yang memerlukan penjelasan yang mendalam dan konkrit daripada pihak berkuasa.

Ab Halim turut mempersoalkan jawapan umum yang diberikan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan yang hanya menyebut ‘faktor antropogenik’ sebagai punca kejadian iaitu tanah lemah di bawah struktur paip serta tekanan berulang.

Katanya, PAS Selangor akan terus mendesak agar satu siasatan bebas dan menyeluruh dijalankan semula oleh badan bebas yang tidak mempunyai sebarang kepentingan.

Isnin lalu, Menteri Besar Amirudin Shari dalam satu kenyataan memaklumkan pasukan penyiasat menyimpulkan faktor persekitaran di bawah permukaan tanah merupakan punca utama paip tersebut gagal, dan pergeseran logam paip gas kemudian mencetuskan api yang meledak pada jam 8:08 pagi 1 April.

Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan kemudian mengklasifikasikan kejadian itu sebagai Tiada Tindakan Lanjut (NFA) susulan tiada unsur kecuaian atau khianat ditemukan hasil siasatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.