
Katanya, siasatan kes tersebut lebih terarah kepada aspek tatakelola.
“Kertas siasatan sudah dibuka dan setakat ini, tiada elemen jenayah dikesan. Penyiasatan kes dijalankan lebih tertumpu kepada aspek tatakelola.
“Terdapat kesilapan apabila ada yang mengatakan SPRM siasat kes jenayah dalam kes tersebut. Kita fokus siasat isu tatakelola dalam kes itu agar KPKT boleh menambah baik aspek itu,” katanya menurut Utusan Malaysia di Kota Bharu.
Azam menjelaskan, pertikaian terhadap isu tender dan harga bagi projek MyKiosk seperti ditohmah sesetengah pihak adalah tidak benar.
Semalam, SPRM dalam kenyataan memaklumkan siasatan ke atas projek MyKiosk susulan aduan sebuah parti politik berkaitan wujud amalan rasuah dan penyelewengan berhubung tender pembinaannya.
Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Zainul Darus, berkata SPRM akan memberi tumpuan kepada dua perkara iaitu pengesanan sekiranya wujud amalan rasuah dan penyelewengan dalam proses tender.
Mei lalu, Pemuda MCA Selangor membuat laporan kepada SPRM bagi menggesa siasatan ke atas projek bernilai RM250 juta itu, dengan Ketuanya Tan Jie Sen mendakwa hanya lebih separuh kiosk digunakan.
Sebelum ini, sayap itu mempersoalkan kenapa kerajaan membayar RM25,000 hingga RM34,000 sedangkan harga pasaran hanya RM12,800 bagi seunit kios.
Menteri Nga Kor Ming, dilaporkan berkata angka RM25,000 mengelirukan kerana ia termasuk kos panel solar, kipas, dapur, pengangkutan, dan pemasangan.
KPKT juga secara sukarela menyerahkan dokumen berkaitan projek MyKiosk kepada SPRM, bagi memastikan tiada elemen salah guna kuasa atau penyelewengan dalam pelaksanaan program itu.
MyKiosk adalah inisiatif bertujuan meningkatkan pendapatan dan taraf sosioekonomi penduduk setempat melalui penyediaan kios perniagaan dengan kadar sewaan yang rendah.
Hingga Disember 2024, sebanyak 7,243 unit MyKiosk diluluskan di 133 pihak berkuasa tempatan seluruh negara, membantu lebih 7,000 keluarga meningkatkan pendapatan.