Kes bunuh di Ipoh dipercayai babit jenayah antarabangsa, kata polis

Kes bunuh di Ipoh dipercayai babit jenayah antarabangsa, kata polis

Siasatan kes diserahkan kepada Unit Cawangan Jenayah Terancang Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, kata Ketua Polis Perak Noor Hisam Nordin.

Ketua Polis Perak Noor Hisam Nordin berkata anak lelaki mangsa berusia 31 tahun yang ditahan susulan penemuan mayat bapanya itu, sudah dibebaskan kelmarin.
PETALING JAYA:
Lelaki yang ditemukan mati dengan kesan tembakan di dada dalam kejadian di Taman Tasek Damai, Ipoh, 24 Jun lalu dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket jenayah antarabangsa, lebih besar daripada kegiatan kongsi gelap.

Ketua Polis Perak, Noor Hisam Nordin, berkata siasatan kes terbabit telah diserahkan kepada Unit Cawangan Jenayah Terancang Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Katanya, siasatan terperinci yang dijalankan mendapati ia membabitkan jenayah terancang yang turut berkait dengan rangkaian antarabangsa.

“Ia lebih besar daripada yang mulanya kita fikirkan sekadar jenayah yang bersifat tempatan, malah lebih besar berbanding kongsi gelap.

“Jadi kertas siasatan diteruskan oleh JSJ Bukit Aman kerana ia meliputi gambaran yang lebih besar kerana sindiket jenayah terancang ini turut membabitkan sempadan luar negara,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program di Perak, menurut Harian Metro.

Menurut Noor Hisam lagi, dapatan diperolehi itu hasil keterangan daripada anak mangsa yang juga suspek awal kes terbabit.

“Setakat apa yang kami maklum, ada kemungkinan mangsa juga terbabit dalam sindiket jenayah terancang itu. Jadi kes ini besar walaupun kita pada mulanya ingat kejadian (pembunuhan) ini kecil.

“Jadi bila babitkan jenayah terancang dan sempadan negara, kita akan bergerak bersama dengan agensi berkaitan termasuk Aseanapol (Polis Asean) dan Interpol (Polis Antarabangsa).

“Ia masih dalam siasatan dan kita tak boleh membuat sebarang andaian lagi ketika ini. Polis Perak akan bantu siasatan yang dijalankan Bukit Aman,” katanya.

Tambahnya, anak lelaki mangsa berusia 31 tahun yang ditahan susulan penemuan mayat bapanya itu, sudah dibebaskan kelmarin.

Media sebelum ini melaporkan, seorang lelaki berusia 57 tahun ditemukan mati berlumuran darah di rumahnya di Taman Tasek Damai, dipercayai dibunuh menggunakan senjata tajam.

Ketua Polis Ipoh Abang Zainal Abidin Abang Ahmad dipetik sebagai berkata hasil bedah siasat terhadap mayat mangsa turut mendapati terdapat kesan luka tembakan di dada yang dipercayai menjadi punca kematian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.