
Presidennya, Rajesh Nagarajan berkata kebergantungan kepada telaga tiub menyebabkan penduduk menggunakan sumber air bawah tanah tanpa pemantauan atau kawal selia yang mencukupi.
Kenyataan itu susulan laporan Utusan Malaysia yang mendedahkan kira-kira 600,000 penduduk Kelantan yang bergantung kepada perigi dan telaga tiub berdepan risiko kesihatan jangka panjang akibat kandungan besi dan mangan yang tinggi dalam air bawah tanah.
Laporan itu memetik Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (Nahrim) yang menyatakan paras besi di Bachok dan Kota Bharu mencecah 3.79 mg/l, manakala paras mangan pula 0.76 mg/l – jauh melebihi piawaian Kementerian Kesihatan iaitu 0.3 mg/l bagi zat besi dan 0.1 mg/l bagi mangan.
Mengulas laporan itu, Timbalan Menteri Besar Kelantan Fadzli Hassan berkata kerajaan negeri sedia bekerjasama dengan jabatan kesihatan negeri untuk menyemak tahap bahan berkenaan.
Katanya, tindakan segera akan diambil sekiranya ia didapati menjejaskan kesihatan.
Bagaimanapun, Rajesh berkata kerajaan sepatutnya berusaha membekalkan air bersih, terawat dan disalurkan melalui paip.
“Air dari telaga tiub mungkin mengandungi paras besi dan mangan yang tinggi, yang boleh menyebabkan risiko kesihatan serius dalam jangka panjang, terutamanya kepada kanak-kanak, wanita hamil dan warga emas.
“Antara risikonya termasuk penyakit Alzheimer dan Parkinson, gangguan fungsi mitokondria, masalah kardiovaskular, serta pelbagai gangguan pernafasan dan neurologi,” katanya.
Rajesh turut mencadangkan Kelantan mencontohi Thailand dalam memanfaatkan air hujan sebagai sumber lestari, memandangkan Malaysia menerima hujan yang banyak.
“Di Thailand, sekolah, rumah dan bangunan kerajaan dilengkapi sistem kutipan air hujan di atas bumbung, penapis, dan tangki simpanan untuk membekalkan air bersih sepanjang tahun,” katanya.