
Pertubuhan Kebajikan Penduduk Kampung Kuala Sungai Baru berkata keputusan itu bukan sahaja menimbulkan lebih banyak tanda tanya terhadap ketelusan siasatan, malah menafikan hak mangsa untuk mendapatkan keadilan sewajarnya daripada bencana terjadi.
“Kami mendesak hasil siasatan ini disemak semula dan pihak penyiasat bebas dilantik untuk siasatan telus.
“Mangsa cedera, kehilangan serta kerosakan harta benda selain mengalami trauma seumur hidup berhak diberi keyakinan atas punca sebenar tragedi dan pihak seharusnya bertanggungjawab atas musibah dialami penduduk terjejas,” katanya di Facebook.
Badan itu juga mendesak hasil siasatan teknikal dan forensik didedahkan selain mangsa serta saksi diberi perlindungan undang-undang.
Semalam, Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan mengumumkan pihaknya mengklasifikasikan kejadian letupan saluran gas di Putra Heights pada 1 April lalu sebagai NFA susulan tiada unsur kecuaian atau khianat ditemukan hasil siasatan.
Beliau bagaimanapun berkata, jika ada bukti atau keterangan baharu dijumpai, pihaknya komited terus semula siasatan.
Insiden pada 1 April lalu mengakibatkan 81 rumah musnah sepenuhnya dengan kerosakan struktur melebihi 40%, 81 separa musnah manakala 57 terkesan.
Kelmarin, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari memaklumkan pasukan penyiasat menyimpulkan faktor persekitaran di bawah permukaan tanah merupakan punca utama paip tersebut gagal, dan pergeseran logam paip gas kemudian mencetuskan api yang meledak pada 8:08 pagi 1 April.
Faktor persekitaran itu termasuk keadaan tanah kurang stabil, pengumpulan air bawah tanah dalam tempoh masa panjang menyebabkan tanah kawasan semakin lembut, struktur saliran monsun dan ‘culvert’ terkesan akibat keadaan tanah, serta tekanan iklim dan kepadatan kawasan penduduk.