SPRM siasat MyKiosk, Pemuda MCA gesa buat juga audit forensik

SPRM siasat MyKiosk, Pemuda MCA gesa buat juga audit forensik

Neow Choo Seong persoal kerajaan bayar RM25,000 hingga RM34,000 bagi kios berharga RM12,800.

neow choo seong
Ketua Pemuda MCA Neow Choo Seong berkata, siasatan SPRM membuktikan bahawa laporan rasmi MCA pada 21 Mei lepas berasas dan mempunyai merit.
PETALING JAYA:
Selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mula menyiasat projek MyKiosk yang menelan belanja RM250 juta, Pemuda MCA menggesa Jabatan Audit Negara turut menjalankan audit forensik menyeluruh.

Ketua Penerangan Pemuda MCA Neow Choo Seong berkata, langkah itu penting bagi memastikan ketelusan penggunaan wang rakyat serta menilai keberkesanan projek bawah bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu.

“Sekiranya terdapat penyelewengan atau salah laku, individu terlibat mesti dibawa ke muka pengadilan tanpa kompromi,” katanya dalam kenyataan.

Neow turut mempersoalkan kos sebuah kios yang dibayar kerajaan antara RM25,000 hingga RM34,000, sedangkan harga pasaran hanya sekitar RM12,800 seunit.

“Lebih mengecewakan, banyak kios masih kosong dan tidak digunakan seperti yang dirancang,” katanya.

Beliau juga berkata, siasatan SPRM itu membuktikan bahawa laporan rasmi MCA kepada SPRM pada 21 Mei lepas adalah berasas dan mempunyai merit.

Dalam pada itu, Neow turut menggesa Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming memohon maaf secara terbuka serta menarik balik arahan mengesan pengguna media sosial yang didakwa menyebar ‘berita palsu’ dan ‘video fitnah’ berkaitan projek itu.

Terdahulu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM Zainul Darus,memaklumkan pihaknya telah memulakan siasatan terhadap projek MyKiosk susulan dakwaan sebuah parti politik berhubung amalan rasuah dan penyelewengan.

Beliau berkata, SPRM juga akan meneliti keseluruhan proses tatakelola untuk mengenalpasti sama ada terdapat kepincangan dan pelanggaran peraturan, sistem dan prosedur.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.