
Herni Sofini Omar, 53, bekerja sebagai ejen pelaburan minta dibicarakan di hadapan Majistret Utman Abd Ghani.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan mengaibkan kehormatan seorang wanita berusia 45 tahun dengan menyebarkan gambar lucah melalui kiriman surat.
Herni didakwa melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan (KK), jika disabitkan boleh dihukum penjara maksimum lima tahun atau dengan denda, atau dengan kedua-duanya.
Pertuduhan kedua, dia didakwa menyampaikan ugutan jenayah terhadap pengadu sama melalui surat tanpa nama yang menyembunyikan identitinya pada masa, tempat dan tarikh sama.
Pertuduhan dikemuka mengikut Seksyen 507 KK, jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara sehingga dua tahun, selain hukuman yang ada diperuntukkan bagi kesalahan itu oleh Seksyen 506 KK.
Tertuduh didakwa melakukan kedua-dua perbuatan itu di Jalan Meranti 3, Taman Sayang Selasih, dekat Melaka, pada 27 Mac lalu, kira-kira 2 petang, lapor Harian Metro.
Bagi pertuduhan ketiga, Herni pada 6 Jun, kira-kira 3 pagi bertempat di pejabat pegawai penyiasat jenayah IPD Melaka Tengah didapati memiliki gambar lucah milik pengadu sama dalam telefon bimbitnya.
Dia didakwa mengikut Seksyen 292 KK, jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara maksimum tiga tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.
Timbalan Pendakwa Raya Hanis Aliah Ahmad Kamarulnajuib mencadangkan jaminan RM24,000 dengan seorang penjamin.
Namun, peguam Baharudin Baharim merayu jumlah itu dikurangkan atas alasan anak guamnya bekerja sendiri dan menanggung empat anak, tiga daripada bersekolah, selain Herni baru didiagnosis menghidap barah dan sudah menjalani pembedahan.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dilepaskan sementara dengan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 6 Ogos ini untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.