Komen jelik, petani tak mampu bayar ikat jamin RM7,000

Komen jelik, petani tak mampu bayar ikat jamin RM7,000

Mohammad Faisal Mohd Yusof mengaku tidak bersalah buat hantaran jelik sifatnya pada Februari lalu.

Mohammad Faisal Mohd Yusof
Mahkamah Sesyen Sepang mengurangkan jaminan kepada RM7,000 berbanding RM15,000 dimohon pendakwaan selepas tertuduh tidak hadir sebutan kes, membawa kepada waran tangkap. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Petani mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Sepang atas pertuduhan membuat dan memulakan hantaran komen yang jelik sifatnya menerusi laman media sosial Facebook, pada Februari lalu.

Mohammad Faisal Mohd Yusof, 37, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman.

Mengikut pertuduhan, Faisal secara sedar telah membuat dan memulakan hantaran komen yang jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain, menggunakan akaun Facebook ‘Mohd Faisal Yusop’.

Hantaran tersebut didakwa dilakukan pada 12.40 pagi, 9 Feb lalu dan telah dilihat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pada kira-kira 1.40 tengah hari yang sama di MCMC Tower 1, Jalan Impact, Cyber 6, Cyberjaya.

Lelaki berkenaan didakwa mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya SKMM Fadhli Ab Wahab mencadangkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin tempatan, memandangkan tertuduh pernah tidak menghadiri sebutan kes pada 30 April lalu hingga waran tangkap dikeluarkan.

Menurut Bernama, bapa tunggal yang tidak diwakili peguam itu merayu jumlah jaminan dikurangkan kerana tidak mempunyai pendapatan tetap serta menanggung tiga anak serta ibu bapanya.

Fuad memerintahkan Faisal dikenakan jaminan RM7,000 dan menetapkan 8 Ogos ini untuk sebutan semula kes.

Namun, Faisal gagal membayar wang jaminan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.