2 pemilik syarikat antara 4 ditahan kemuka butir matan palsu RM5 juta

2 pemilik syarikat antara 4 ditahan kemuka butir matan palsu RM5 juta

Dua pemilik syarikat, dua bekas pengurus tadbir dan bekas pembantu tadbir sebuah syarikat minyak tempatan ditahan di pejabat SPRM Sabah.

lokap sprm
Individu ditahan dibawa Mahkamah Majistret Kota Kinabalu untuk permohonan perintah reman. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan empat individu, termasuk dua pemilik syarikat disyaki mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu berkaitan perolehan percetakan dokumen ‘permit to work’ (PTW) bernilai kira-kira RM5 juta.

Menurut sumber, tiga lelaki dan seorang wanita berusia 40 hingga 50-an itu ditahan antara 6 petang hingga 7 malam 30 Jun lalu ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Sabah.

“Selain dua pemilik syarikat itu, dua lagi yang juga bekas pengurus tadbir dan bekas pembantu tadbir sebuah syarikat minyak tempatan dipercayai melakukan perbuatan berkenaan dari 2019 hingga 2023.

“Kedua-dua suspek juga disyaki bersubahat dengan dua pemilik syarikat dengan mengemukakan tuntutan palsu berkaitan perolehan percetakan dokumen PTW kira-kira RM5 juta,” katanya kepada Bernama.

Menurutnya, tangkapan semua suspek itu susulan Op Effingo oleh Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM.

“Pada 30 Jun, BOK menggeledah 10 lokasi berbeza termasuk kediaman suspek, pejabat dan beberapa syarikat di sekitar Kota Kinabalu, Sabah dan Lembah Klang.

“SPRM menyita 22 akaun bank, termasuk akaun ASB bernilai kira-kira RM2 juta dan pelbagai mata wang asing berjumlah kira-kira RM14,000, selain turut menyita tiga kereta mewah berjumlah RM1.3 juta dan tiga unit telefon bimbit.”

Mereka direman empat hari bermula semalam selepas Majistret Dzul Elmy Yunus membenarkan permohonan SPRM di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu.

Pengarah Kanan BOK SPRM, Mohamad Zamri Zainul Abidin, mengesahkan penahanan serta memaklumkan suspek akan dituduh bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 serta kesalahan lain bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 berkaitan aliran wang melibatkan aktiviti pengubahan wang haram.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.