Rundingan tarif AS-M’sia ‘positif’ setakat ini, kata Amir

Rundingan tarif AS-M’sia ‘positif’ setakat ini, kata Amir

Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan kata Malaysia sokong sistem perdagangan terbuka, multilateral dan berasaskan peraturan.

AMIR HAMZAH AZIZAN
Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan kata perunding perdagangan Malaysia secara konsisten menekankan saling kebergantungan rantaian bekalan global semasa perbincangan dengan rakan sejawatan di AS.
KUALA LUMPUR:
Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan berkata Amerika Syarikat memberikan maklum balas yang positif kepada kerajaan Malaysia dalam rundingan tarif yang sedang berjalan.

Beliau juga mengesahkan sokongan Malaysia pada sistem perdagangan terbuka, multilateral dan berasaskan peraturan, serta keputusan untuk tidak membalas tarif yang dikenakan AS.

“Malaysia sentiasa ambil pendekatan melibatkan diri dengan AS untuk memahami isu-isu berbangkit dan untuk mengetahui sama ada kita boleh merintis penyelesaian menang-menang.

“AS bersikap positif dalam respons mereka kepada pendekatan Malaysia, dan libat urus dilakukan yang mana kedua-dua pihak meminta pasukan perdagangan masing-masing berbincang tentang bagaimana kita boleh mengemudi isu itu,” kata Amir pada Persidangan Invest Asean-Malaysia 2025.

Beliau berkata perunding perdagangan Malaysia secara konsisten menekankan saling kebergantungan rantaian bekalan global dan akibat ketara mengganggu rantaian itu, ketika mengadakan libat urus dengan rakan sejawatan AS.

“Jika mengganggu sesuatu itu tidak beri manfaat kepada kita, maka jangan kita ganggu.

“Jika ada peluang untuk liberalisasi, mari kita renung atas dasar akan ada hasil menang-menang.”

Pada 22 Jun, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Aziz berkata perbincangan Malaysia dengan setiausaha perdagangan AS mengenai perkara berkaitan tarif telah mencapai kemajuan yang baik.

Beliau berkata wakil Malaysia dan AS juga bersetuju untuk mempergiatkan usaha mencapai persetujuan yang boleh diterima oleh pemegang taruh utama di kedua-dua negara.

Eksport Malaysia ke AS berdepan tarif 24% melainkan persetujuan dicapai sebelum penggantungan 90 hari tamat pada 8 Julai.

Amir menambah perbincangan mengenai halangan bukan tarif tidak harus disambut dengan penolakan secara terang-terangan, sebaliknya dijawab dengan pendekatan ‘mari kita bincang’ dalam meneroka sama ada melonggarkan sekatan tertentu boleh memberi manfaat bersama.

“Sebagai contoh, Malaysia tidak mengeluarkan sepenuhnya semua yang kita perlukan dalam bidang pertanian, dan mungkin terdapat jurang bekalan dalam sistem kita.

“Jika menambah rantaian bekalan AS kepada rangkaian Malaysia membantu, maka saya tidak fikir Malaysia akan teragak-agak untuk melakukan perkara yang perlu untuk memperbaiki keadaan pekerja kita. Tetapi mereka mesti menghormati peraturan dan undang-undang kita,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.