
Ketua Polis Perak Noor Hisam Nordin berkata, siasatan awal mendapati lelaki berusia 37 tahun itu mendaftar akaun pelaburan di laman web itu pada April 2023 melalui suspek yang dikenali menerusi WhatsApp.
Katanya, mangsa kemudiannya membuat bayaran deposit pertama berjumlah RM30,000 ke akaun yang diberi dan seterusnya diberikan pengenalan pengguna (ID) serta kata laluan untuk melihat nilai pelaburan.
“Bermula dari 5 Jun 2024 hingga 20 Mei 2025, mangsa membuat 136 kali transaksi pindahan wang ke tujuh akaun yang berlainan berjumlah RM2,701,687.
“Sumber kewangan mangsa ialah hasil simpanan sendiri dan juga wang daripada ahli keluarganya,” katanya dalam kenyataan.
Noor Hisam berkata, mangsa mula rasa tertipu apabila diminta membuat bayaran setiap kali ingin mengeluarkan keuntungan, namun sehingga kini wang itu masih gagal dikeluarkan.
Suspek pula sering memberikan alasan sebelum gagal dihubungi, tambahnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Noor Hisam menasihati orang ramai supaya tidak terlibat dengan sebarang bentuk pelaburan ditawarkan menerusi laman sesawang tidak sah, tidak berdaftar mahupun dikawal selia oleh pihak berkuasa diiktiraf.