
Menteri Kewangan II, Amir Hamzah Azizan berkata objektifnya adalah untuk memastikan proses mengenal pasti kelayakan subsidi setiap pelanggan melalui MyKad adalah selancar proses mengisi minyak seperti sekarang.
“Kita mahu memastikan pelanggan tidak mengalami sebarang perubahan ketara apabila rasionalisasi subsidi bahan api dilaksanakan.
“Apa yang kita tidak mahu adalah orang ramai perlu beratur untuk menuntut subsidi apabila mereka ke stesen minyak, berbanding sekarang di mana mereka boleh menyelesaikan transaksi dalam beberapa minit,” katanya pada Persidangan Invest Asean-Malaysia 2025.
Amir juga yakin kerajaan akan dapat membangunkan satu sistem untuk menentukan kelayakan subsidi RON95 yang boleh diguna pakai di semua stesen minyak sebelum akhir tahun ini.
Minggu lalu, Amir berkata kerajaan akan melaksanakan subsidi bersasar RON95 secara berperingkat tahun ini tetapi tidak memberikan sebarang butiran lanjut.
Amir turut berkata keputusan Putrajaya untuk melaksanakan subsidi bersasar melalui sistem MyKad merupakan mekanisme yang berkesan untuk mengelakkan ketirisan, dengan memberi contoh kejayaan program Sumbangan Asas Rahmah (Sara) yang mempunyai lebih 5.4 juta penerima setakat 1 April.
“(Di bawah program Sara) jumlahnya dimuatkan melalui sistem MyKad, dan penerima akan menerima sama ada RM50 atau RM100 untuk membeli barangan keperluan. Lebih daripada 4,000 kedai telah pun menggunakan sistem Sara.
“Tidak mustahil untuk kita memperoleh hasil yang sama dengan pelaksanaan subsidi bersasar RON95,” katanya.
Pada Jun, Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia menyeru kerajaan menangguhkan rasionalisasi subsidi RON95 sehingga isu-isu kritikal diselesaikan.
Presidennya, Khairul Annuar Abdul Aziz berkata margin pengusaha, yang ditetapkan di bawah mekanisme harga automatik, tidak dikaji semula sejak 2019 dan tidak lagi mencerminkan kos operasi semasa.
Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap kadar diskaun pedagang yang dikenakan ke atas pembayaran menggunakan kad, yang meningkat apabila harga bahan api naik tetapi komisen pengusaha bagi setiap liter kekal tidak berubah.