
Ahli Parlimen Sembrong itu mendakwa, sehingga hari ini tidak dimaklumkan termasuk secara bertulis punca penggantungannya selama enam tahun yang diputuskan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno pada 27 Jan 2023.
Beliau juga tidak dipanggil untuk memberi penjelasan kepada Lembaga Disiplin Umno.
“Saya tak rayu kerana tidak diadili sebaiknya dan saya enggan gadaikan prinsip saya pegang…ini bukan soal keahlian atau kedudukan tetapi soal prinsip, integriti dan keadilan saya pegang,” katanya dalam video di Instagram.
Beliau mengulas keputusan mesyuarat MKT yang sebarang rayuan boleh dikemukakan oleh mana-mana ahli dikenakan tindakan disiplin parti selaras dengan Perlembagaan Umno Fasal 20.12.
Hishammuddin turut mempersoalkan mengapa proses penggantungannya dahulu tidak mengikut prosedur tetapi kini pimpinan parti menekankan kepada aspek terbabit.
Baru-baru ini, Umno Sembrong meluluskan usul supaya kepimpinan parti menerima semula Hishammuddin.
Ketua Umno Johor, Onn Hafiz Ghazi, ketika merasmikan mesyuarat bahagian Sembrong berjanji untuk membawa usul berkenaan kepada kepimpinan tertinggi parti.
Umno menggantung keahlian Hishammuddin selama enam tahun pada Januari 2023. Media memetik surat penggantungan itu melaporkan beliau digantung kerana tindakan melanggar fasal 20.9 perlembagaan parti, tanpa butiran lanjut.
Pada Disember tahun lalu, ada gesaan supaya Hishammuddin kembali kepada Umno selepas MKT menarik balik penggantungan keahlian bekas Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman.
Presiden Zahid Hamidi dilapor berkata, Umno sedia terima Hishammuddin namun perlu mencontohi Tajuddin yang membuat rayuan.
Bagaimanapun, Hishammuddin berkata beliau enggan merayu kerana tidak mengetahui sebab keahliannya digantung.