
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi Percukaian) Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Shaharrudy Othman, berkata sekitar 55,000 pembayar cukai dijangka melaksanakan e-Invois fasa tiga, dengan beliau optimis kadar penyertaan adalah sama seperti pelaksanaan fasa satu dan dua sebelum ini.
“Lebih 5,400 pembayar cukai telah melaksanakan fasa satu sistem e-Invois bermula 1 Ogos 2024 manakala untuk fasa dua, sekitar 13,000 pembayar cukai melaksanakan e-Invois sejak 1 Jan lepas.
“Jadi kita berharap kadar penyertaan itu sama seperti fasa satu dan dua. Sehingga kini, sebanyak 352 juta e-Invois telah dikemukakan pembayar cukai,” katanya pada sidang media berhubung pelaksanaan e-Invois fasa tiga di sini hari ini.
Pelaksanaan fasa empat dan lima, masing-masing membabitkan pendapatan melebihi RM1 juta hingga RM5 juta bermula 1 Jan 2026 manakala bagi kumpulan berpendapatan sehingga RM1 juta bermula 1 Julai 2026.
Selain itu, LHDN juga melancarkan Sistem MyInvois e-POS, iaitu platform digital Point-of Sale (POS) secara percuma yang diperluaskan kemudahan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan pendapatan atau jualan tahunan bawah RM750,000.
Sistem MyInvois e-POS direka khas untuk PMKS bagi memudahkan pelaksanaan e-Invois dengan mengintegrasikan fungsi utama perniagaan seperti perekodan jualan, pengurusan inventori, pelaporan kewangan dan sokongan e-Invois.
Menurut Shaharrudy, sistem itu juga bertujuan membantu PMKS meningkatkan kecekapan operasi perniagaan serta memudahkan pelaksanaan e-Invois.
“Sehubungan itu, LHDN mempelawa pembayar cukai yang layak dan berminat untuk mendaftar bagi menggunakan Sistem MyInvois e-POS yang kini telah dibuka.
“Kami juga telah menyediakan Sistem dan Portal MyInvois serta Aplikasi MyInvois bagi membolehkan pembayar cukai melaksanakan e-Invois. Platform ini disediakan secara percuma kepada semua pembayar cukai terutama dalam menyokong PMKS dan memastikan ketersediaan pelaksanaan e-Invois,” katanya.