Bapa tiri, abang kandung mengaku rogol, ibu didenda gagal lapor jenayah

Bapa tiri, abang kandung mengaku rogol, ibu didenda gagal lapor jenayah

Mangsa berusia 15 tahun dirogol bapa tiri dan abang kandungnya sejak berusia 11 tahun.

gavel
Tiga sekeluarga dihadapkan di Mahkamah Sesyen Baling kerana kesalahan melibatkan jenayah seksual ke atas seorang ahli keluarga sendiri berusia 15 tahun. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Bapa tiri dan abang kandung masing-masing mengaku salah merogol remaja, manakala ibu didenda RM2,000 di Mahkamah Sesyen Baling atas kesalahan gagal lapor jenayah seksual menimpa anaknya itu.

Semua tertuduh membuat pengakuan salah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Najwa Che Mat.

Bapa tiri yang bekerja sebagai pengawal keselamatan berusia 49 tahun itu didakwa merogol mangsa yang ketika ini berusia 15 tahun di sebuah rumah di Pulai, Baling, kira-kira 4 petang, 24 Jun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang lapan tahun dan tidak melebihi 30 tahun dan boleh juga dikenakan sebat tidak kurang 10 sebatan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Amirul Halimi Md Salleh, manakala tertuduh diwakili peguam Masniah Dolah daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM30,000 dan menetapkan 10 Ogos ini sebagai tarikh serahan laporan perubatan mangsa, lapor Harian Metro.

Lelaki itu turut berdepan pertuduhan berasingan kerana memiliki bahan lucah berupa gambar dan video dalam telefon bimbit jenama Vivo Y66 di lokap IPD Baling pada 3.40 petang, 27 Jun.

Dia didakwa mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara hingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu dan mahkamah menjatuhkan hukuman 15 bulan penjara bermula dari tarikh tangkapan.

Dalam pada itu, abang kandung mangsa berusia 17 tahun turut mengaku salah kerana merogol adiknya di rumah sama, kira-kira 10 pagi pada 15 Jun 2025.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara antara lapan hingga 30 tahun dan sekurang-kurangnya 10 sebatan, jika sabit kesalahan.

Hakim menetapkan 30 Okt depan untuk serahan laporan akhlak dan membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000.

Mengikut fakta kes, mangsa dirogol bapa tiri dan abang kandungnya sejak berusia 11 tahun.

Sementara itu, ibu kandung mangsa, 45, turut dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan gagal melaporkan jenayah seksual terhadap anaknya kepada pihak polis.

Mengikut kertas pertuduhan, wanita yang bekerja sebagai pembantu kedai itu mempunyai sebab munasabah untuk mempercayai bahawa satu kesalahan seksual berlaku terhadap anak perempuannya, namun gagal membuat laporan kepada mana-mana pegawai polis.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 10 pagi, 24 Julai 2024 di sebuah sekolah menengah, di Baling.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 19 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan denda sehingga RM5,000 jika sabit kesalahan.

Wanita itu mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan dan mahkamah mengenakan denda RM2,000 atau penjara lapan bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.