5 ahli kimia ditahan, dadah RM26.88 juta dirampas

5 ahli kimia ditahan, dadah RM26.88 juta dirampas

Rampasan terbesar melibatkan MDMA diproses dalam 1,488 kotak dan botol jus minuman.

handcuff
Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan, berkata 18 individu direman sehingga 3 Julai susulan rampasan pelbagai jenis dadah, dalam dua serbuan berasingan di Ampang dan Kuala Lumpur.
PETALING JAYA:
MDMA antara dadah bernilai RM26.88 juta dirampas dalam dua kes berasingan, pada 25 dan 26 Jun.

Rampasan narkotik MDMA dalam pelbagai bentuk termasuk yang dimasukan ke dalam 1,488 kotak dan botol jus minuman berjumlah 499.52kg.

Polis turut merampas dadah jenis kokain dalam bentuk serbuk serta cecair dalam tujuh katrij vape dengan berat sekurang-kurangnya 2.7kg.

Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan, berkata 3.5kg pil ekstasi dan 0.4kg pil erimin juga dirampas dalam lapan siri serbuan di Ampang dan Kuala Lumpur.

“Pada 25 Jun, polis menyerbu dua unit kondominium di Ampang yang dijadikan makmal pemprosesan dadah dan menahan lima individu terdiri daripada tiga lelaki warga Taiwan, seorang lelaki China, dan wanita Vietnam berusia antara 20 hingga 37 tahun serta merampas peralatan memproses cecair vape.

“Sementara di 26 Jun, polis menyerbu lapan lokasi sekitar Ampang dan Kuala Lumpur termasuk sebuah rumah teres dijadikan makmal pemprosesan dadah dan menahan 13 individu terdiri daripada 12 lelaki tempatan dan seorang wanita Vietnam berusia 20 hingga 41 tahun serta merampas peralatan memproses dadah sintetik,” katanya menurut Utusan Malaysia.

Katanya, turut dirampas sembilan kenderaan termasuk sebuah motosikal, empat bentuk cincin, tiga utas rantai leher lima utas rantai, lima utas jam tangan, satu gelang tangan serta satu komputer riba.

Selain barangan tersebut, turut ditemui adalah wang tunai berjumlah RM67,209 serta sejumlah mata wang Taiwan dan USD.

“Kedua-dua sindiket dikesan aktif sejak Oktober dan Disember pada tahun lalu dan lima daripada mereka adalah ahli kimia, sementara yang lain bertindak sebagai pembantu dan ‘runner’ dengan pendapatan RM3,000 hingga RM25,000,” katanya.

Semua kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup serta maksimum 12 sebatan.

Semua mereka direman sehingga 2 dan 3 Julai.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.