
Setiausaha Agung Asyraf Wajdi Dusuki menjelaskan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) malam tadi menangguhkan persidangan tahunan itu kepada 26 hingga 29 Nov.
“Ia mengambil kira persiapan menghadapi PRN Sabah,” katanya dalam kenyataan media.
PRN perlu diadakan selewat-lewatnya penghujung tahun ini, namun ada spekulasi mengatakan pilihan raya negeri Sabah kali ke-17 terbabit bakal berlangsung lebih awal.
Sementara itu, Asyraf berkata MKT turut merasakan tiada kewajaran untuk parti dalam kerajaan perpaduan mengambil mana-mana ahli dalam kalangan parti gabungan.
“Ini untuk mengelakkan tercetusnya prasangka dan ketidakharmonian dalam kerajaan,” katanya tanpa menyebut sebarang nama.
Namun Asyraf pada 30 Mei lalu dipetik berkata Umno memandang serius peletakan keahlian dan jawatan Tengku Zafrul Aziz dalam parti itu untuk menyertai PKR.
Beliau menyifatkan tidak wajar untuk mana-mana parti dalam kerajaan perpaduan menerima keahlian daripada ahli parti-parti lain sewenang-wenangnya.
Sebagai rekod, PKR belum memutuskan sama ada mahu menerima atau menolak permohonan menteri pelaburan, perdagangan dan industri itu.